KEADAAN Covid-19 semakin membimbangkan menyebabkan kerajaan negeri Kelantan mengambil keputusan untuk melarang semua majlis keraian diadakan sepanjang PKP. - Kredit foto: hellokerja.com
TIADA kebenaran untuk mengadakan sebarang majlis kenduri termasuk perkahwinan pada Aidilfitiri tahun 2021 ini di Kelantan.
Peringatan itu dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan
kepada penduduk negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan
dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, sebarang majlis keraian tidak
dibenarkan sama sekali sepanjang tempoh PKP berikutan keadaan Covid-19 di
negeri semakin membimbangkan.
“Kerajaan negeri berharap rakyat memberi kerjasama
penuh dalam memutuskan rangkaian Covid-19.
"Saya ingatkan kepada semua bahawa sepanjang tempoh PKP, tiada sebarang majlis dibenarkan termasuk majlis perkahwinan dan bagi mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan sewajarnya. Saya mohon patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dipetik oleh Berita Harian pada Selasa, 4 Mei 2021.
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, sebarang majlis keraian tidak dibenarkan sama sekali berikutan keadaan Covid-19 semakin membimbangkan. - Kredit foto: Sinar Harian
Dr Izani berkata, kepatuhan SOP di Kelantan setakat ini masih lemah dari segi penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.
"Bila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil
tindakan undang-undang, rakyat marah namun pada masa sama mereka melanggar SOP.
"Apabila saya membuat tinjauan di gerai yang
berniaga di tepi jalan, saya sedih kerana melihat ramai lagi yang memandang
ringan dengan penjarakan sosial dan pelitup muka. Tidak kira sama ada
pengunjung atau peniaga, kebanyakan mereka hanya meletakkan pelitup muka di
dagu," katanya.
Kes Covid-19 di negeri itu sangat membimbangkan buat
masa ini sekali gus memaksa pihak kerajaan negeri mengambil pendekatan membuka
hospital medan selain menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Hospital medan akan dibuka di tapak Padang Perdana di Kota Bharu, selain satu lagi PKRC iaitu Kelantan Trade Centre (KTC) yang mampu memuatkan 1,000 pesakit dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
Hospital Machang juga akan dijadikan hospital khas untuk pesakit Covid-19 seperti yang dilaksanakan di Hospital Tumpat, bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.
Sehingga kini, fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) di
Kelantan sama ada di hospital serta PKRC sudah hampir penuh dan dalam keadaan
kritikal.
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter
KERAJAAN negeri mengambil pendekatan membuka hospital medan selain menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) . - Kredit foto: Berita Harian