Alam & Sains 12 May, 2021

COVID-19: Trend peningkatan di daerah Besut kian membimbangkan! Naik 835% dalam tempoh 2 bulan!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Ahmad Farhan (tengah) ketika mengadakan sidang Media kes COVID-19 di Besut.


PENINGKATAN kes pandemik COVID-19 di daerah Besut, Terengganu, bukan sahaja menakutkan penduduk terbabit malah turut menyentuh perasaan bimbang dalam kalangan ketua jabatan dan pemimpin setempat

Daerah Besut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 Mei 2021 hingga 20 Mei 2021 dilaporkan berlaku peningkatan 835 peratus kes positif dalam tempoh kurang dua bulan bermula April 2021 lalu. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Besut

Ahmad Farhan Abdul Wahab


Pegawai Daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes positif COVID-19 yang direkodkan di daerah itu sejak April 2021 berjumlah 693 kes membabitkan 10 kluster aktif

Katanya, bilangan kes pada 11 Mei 2021 ialah 47 kes yang menjadi penyumbang terbesar kepada kes COVID-19 di negeri Terengganu.

Ahmad Farhan yang juga Pengerusi Bencana Daerah berkata, sejak pelaksanaan PKP, kes harian di daerah itu mencecah 47 kes setiap hari dan amat membimbangkan semua pihak.


Penduduk Mukim Pelagat, Jertih menunggu giliran untuk sesi saringan COVID-19 di Masjid Kampung Lak Lok, Jertih.


Beliau berkata, PKP di daerah Besut membabitkan 14 mukim akan mengguna pakai SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk aktiviti ekonomi yang dibenarkan sehingga jam 10 malam.

Manakala, pergerakan menggunakan kenderaan persendirian hanya dibenarkan dengan terhad kepada dua orang sahaja selain tiada aktiviti rentas sempadan negeri.

“Dalam tempoh dua minggu 27 April 2021 hingga 10 Mei 2021 sejumlah 14 kompaun dikenakan kepada individu dan pemilik premis,” katanya pada sidang media pada Selasa 11 Mei 2021.



Antara perlanggaran yang dilakukan termasuklah pemilik premis gagal mematuhi waktu operasi, gagal memakai pelitup muka, rentas negeri tanpa surat kebenaran polis dan keluar masuk di kawasan PKPD tanpa kebenaran.

Beliau berkata, pihak polis juga sudah menutup 30 jalan jalan tikus yang dibina oleh penduduk di sempadan Besut - Pasir Puteh, Kelantan.



Sementara itu, penduduk di kawasan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat Tiga, Seberang Jertih bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 14 Mei hingga 27 Mei 2021.



Menurut kenyataan KKM, setakat ini, kawasan perumahan itu telah merekodkan 52 kes positif COVID-19 hasil daripada 86 ujian saringan dilakukan ke atas penduduk lokaliti tersebut.

KKM dalam kenyataan pada Selasa 11 Mei 2021 juga memaklumkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam masa seminggu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.



Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di RAKR Pelagat 3, Mukim Pelagat, Besut, Terengganu berkuat kuasa 14 Mei sehingga 27 Mei 2021. 

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM menjalankan saringan secara besar-besaran dalam kalangan penduduk serta menyekat penularan jangkitan kes COVID 19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di luar lokaliti tersebut,” kata kenyataan tersebut. - KitaReporters


 

 

 

 

 

 

 

3
3
6
1
4
You will be interested