Alam & Sains 07 May, 2021

Berita Terkini| Tiada rentas negeri! Namun Lebuh Raya KLK, LPT1 siap sedia kendali balik raya!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke [email protected]

Share this


PENGENDALI Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1), Anih Berhad bersedia mengurus operasi tol, trafik dan fasiliti di lebuh raya itu walaupun aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan menjelang perayaan Aidilfitri kali ini.

Anih menjangkakan purata harian trafik di KLK mencecah 70,180 kenderaan dan 40,250 kenderaan di LPT1 bermula Sabtu, 15 Mei hingga 17 Mei 2021.

Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pengguna lebuh raya terutama di Pahang dapat menikmati perjalanan yang selesa ketika merentas daerah melalui KLK dan LPT1.

Menurutnya, pihak konsesi akan memastikan kemudahan lebuh raya seperti di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah, perkhidmatan tol dan trafik sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Bagi membendung penularan wabak Covid-19, semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT1 mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang ditetapkan.

"Pengguna lebuh raya dinasihati sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan terutama ketika menggunakan kawasan R&R dan Hentian Sebelah," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat, 7 Mei 2021.

Nik Fauzi berkata, sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat (CSR) pihaknya menyediakan pelitup muka percuma yang akan diedarkan kepada pengguna di semua Pusat Khidmat Pelanggan di sepanjang KLK dan LPT1 bermula pada Isnin, 10 Mei ini.

Pengguna juga dinasihatkan memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.

"Bagi urusan tambah nilai, pengguna boleh ke kios layan diri (SSK) yang disediakan di R&R Genting Sempah

dan Hentian Sebelah Gombak bagi KLK, R&R Temerloh Timur, R&R Temerloh Barat dan Plaza Tol Gambang bagi LPT1.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman web Anih Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan Facebook LPT1 Timur," katanya. 

Menurutnya, sebarang kecemasan boleh menghubungi talian 24 jam LPT Line menerusi 1-700-818-700 atau 09-5479 111. -KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

1
2
4
1
3
You will be interested