Alam & Sains 18 Dec, 2020

Penduduk Terengganu! Amaran cuaca buruk (jingga) mulai 19 Dis

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

PENDUDUK di tiga daerah di Negeri Terengganu diingatkan agar berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan amaran cuaca buruk (amaran jingga) dijangka melanda daerah tersebut mulai 19 Disember hingga 21 Disember 2020. Daerah terbabit  ialah Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. : KitaReporters


Jalan Bandar Permaisuri ke Kampung Besut, Setiu dinaiki air


Lagi cerita-cerita berkaitan banjir:

https://kitareporters.com/search?search=banjir


Cuaca buruk itu akan menyebabkan kejadian hujan lebat, angin kencang mencapai kelajuan 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter. 

Manakala amaran cuaca waspada (amaran kuning) sehingga 20 Disember 2020 ini melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Jabatan Meterologi (MetMalaysia) pada 18 Disember 2020 mengeluarkan amaran cuaca buruk (Jingga) di beberapa buah negeri termasuk Terengganu sehingga 21 Disember 2020.


Hujan berterusan sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa kawasan rendah di Daerah Setiu dinaiki air


Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, keadaan hujan lebat yang berterusan di beberapa kawasan di Pantai Timur Semenanjung itu berlaku berikutan musim monsun timur laut.

Katanya,dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.


Amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Metrologi


“Pada masa sama, satu sistem tekanan rendah telah terbentuk di tenggara Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat laut,” katanya.

Menurutnya, hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam.

Katanya, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.


Amaran banjir di Terengganu yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia


Sementara itu, keadaan banjir di Pantai Timur Semenanjung bertambah serius dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan meningkat.

Jumlah mangsa banjir di Negeri Terengganu terus bertambah kepada 972 orang daripada 246 keluarga setakat pukul 4.30 petang tadi berbanding 275 orang daripada 81 keluarga, pada pukul 8.00 pagi tadi Jumaat, 18 Disember 2020. 


Che Adam A Rahman


Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata ketika ini hanya dua daerah dilanda banjir iaitu di Kemaman dan Dungun dengan pertambahan mangsa yang ketara berlaku di Kemaman iaitu 824 orang daripada 199 keluarga berbanding 203 orang daripada 56 keluarga pagi tadi.

Katanya, tiga lagi PPS dibuka di Kemaman menjadikan jumlah terkini ialah tujuh PPS dibuka di daerah itu manakala di Dungun pula, jumlah mangsa bertambah kepada 148 orang daripada 47 keluarga, berbanding 23 orang daripada empat keluarga sebelum ini susulan pembukaan dua lagi PPS.

Dua PPS masing-masing satu di Besut dan Setiu pula telah ditutup sepenuhnya dan semua mangsa telah dibenarkan pulang setelah banjir surut pada pukul 9.00 pagi tadi 18 Disember 2020. 


Kredit foto: FB Bencana Operasi APM Terengganu


Sementara itu, paras air di empat sungai di empat daerah didapati telah pun melepasi paras bahaya setakat pukul 4.30 petang tadi. 

Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras air Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman setinggi 19.88 meter (m) melebihi paras bahaya 18.5 m manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu pula setinggi 21.35 m berbanding paras bahaya 21 m.

Selain itu, Sungai Dungun di Pasir Raja setinggi 37.83 m mengatasi paras bahaya 37.50 m dan Sungai Besut di Jambatan Keruak setinggi 35.40 m berbanding paras bahaya 35 m. - KitaReporters


6
4
13
1
3
You will be interested