Alam & Sains 10 Mar, 2021

COVID-19: Tiga pejabat di Wisma Darul Iman diarah tutup 7 hari! 3 daerah kini berstatus hijau

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu, Wisma Darul Iman


KETIKA penularan pandemik COVID-19 di negeri Terengganu dilaporkan semakin menurun dengan tiga daripada lapan daerah negeri ini kini menjadi zon hijau, tiba-tiba rakyat negeri ini dikejutkan apabila tiga pejabat di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu ditutup berikutan tiga kes positif COVID-19.

Tiga pejabat yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri itu termasuklah Pejabat Tanah dan Galian di tingkat 11, Pejabat Unit Perancang Ekonomi (tingkat 12) dan Pejabat Bahagian Kerajaan Tempatan (tingkat 13).


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan JKNT:

https://kitareporters.com/search?search=JKNT


Dr Nor Azimi Yunus


Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus ketika mengesahkan perkara itu berkata, penutupan yang berkuat kuasa pada Rabu 10 Mac 2021 untuk tempoh tujuh hari hingga Selasa 16 Mac 2021 bagi membolehkan kerja-kerja nyahkuman dilakukan.

Katanya, penutupan premis terbabit perlu dilakukan kerana terdapat tiga kes positif COVID-19 dalam kalangan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Nor Azimi berkata, siasatan mendapati kes-kes positif berkenaan bergaul rapat dengan pekerja di tiga pejabat berkenaan.



“Penutupan sementara itu dijalankan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tiga daripada lapan daerah di negeri ini kembali berada dalam status hijau apabila tiada kes baharu dilaporkan menular di daerah terbabit.



Daerah hijau ialah Kemaman, Hulu Terenggan dan Dungun, sementara Marang dan Setiu dalam kategori kuning, Kuala Nerus dalam kategori jingga, manakala Kuala Terengganu dan Besut masih dalam zon merah.

Menurut laporan terkini pandemik COVID-19 di negeri Terengganu, pada 10 Mac 2021, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merekodkan pertambahan 14 kes sembuh dan lapan kes baru COVID-19 menjadikan terdapat 134 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,338 kes.

Manakala 132 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa. 

Dua kes menerima rawatan di ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan satu daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. - KitaReporters


3
0
1
1
0
You will be interested