Alam & Sains 14 Feb, 2021

Shoot! Aplikasi digital Liga Malaysia bercita rasa peminat! Semua maklumat mengenai bola sepak

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KANDUNGAN aplikasi Shoot! boleh diperoleh pada telefon pintar Android mulai Mac 2021 ini. - Kredit foto MFL.


PERNAH dengar Shoot! 

Bunyinya macam nama sebuah majalah bola sepak terkenal antarabangsa yang pernah diterbitkan di England. Cukup popular dalam beberapa dekad lalu malah pernah dipasarkan di Malaysia atau diperoleh secara langganan tetap berkala. 

Bahan bercetak inilah sumber alternatif perkembangan bola sepak antarabangsa selain siaran TV atau pita video, lama sebelum kehadiran Internet dan aneka gajet moden alaf baharu. 


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak 


AB. Ghani Hassan (kiri), Hamidin Mohd. Amin, Emil Rinaldi Sjaiful dan Pengarah Eksekutif Ingres, Faris Lodin menayangkan replika aplikasi Shoot! selepas majlis menandatangani perjanjian antara MFL dan Ingres. - Kredit foto: MFL.


Sekalipun tiada kena-mengena dengan majalah itu, Shoot! atau bererti Rembat kini kembali muncul di Malaysia.

Yang uniknya ialah Shoot! terbaharu ini hadir dalam bentuk digital menerusi aplikasi yang dibangunkan sebuah syarikat teknologi maklumat dan prasarana telekomunikasi tempatan, Ingres Technologies Sdn. Bhd.

“Segala berita, maklumat dan kandungan bola sepak Malaysia kini disajikan dalam aplikasi Shoot!,” lapor siaran media pada 10 Februari 2021. 

Shoot! diumumkan selepas perjanjian lima tahun mulai 2021 dimeterai antara Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) - badan pengurus Liga Super dan Perdana, Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Pencabar - dan Ingres

“Berita ini pasti menggembirakan para penyokong bola sepak tanah air. Bukan hanya Liga M bahkan perkembangan pasukan kebangsaan Harimau Malaya bakal dapat mereka nikmati.

 “Turut disajikan ialah e-MFL (MFL elektronik), skuad bola sepak wanita negara, futsal dan bola sepak pantai serta pertandingan-pertandingan lain anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

“Shoot! akan menjadi satu nafas baharu Liga M yang seiring peredaran teknologi terkini yang segala perkembangan dan maklumat mampu diperoleh hanya di hujung jari,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan.


AB. Ghani Hassan (kiri) dan Emil Rinaldi Sjaiful (kanan) menayangkan dokumen perjanjian pengenalan aplikasi Shoot! - Kredit foto: MFL.


Majlis menandatangani perjanjiannya berlangsung pada 10 Februari 2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor dengan Ingres diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Emil Rinaldi Sjaiful sambil disaksikan Presiden MFL dan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

 “Ekosistem digital memainkan peranan amat penting dalam memahami sikap penyokong bola sepak negara. Penerapan data dalam sesuatu organisasi juga merupakan kunci peningkatan daya saing dalam perkembangan era digital kini. 

“Kandungan Shoot! yang unik dan eksklusif mampu memenuhi kehendak para peminat kerana turut menawarkan elemen yang lebih menghiburkan dan pembabitan mereka yang luar biasa. 

“Aplikasi ini pasti menjadi pelengkap pengalaman mereka selain membantu ekosistem bola sepak Malaysia secara menyeluruh untuk terus berkembang,” katanya. 


PARA tetamu kenamaan majlis menandatangani perjanjian bergambar dengan replika aplikasi pintar Shoot! - Kredit foto MFL.


Jelas Ghani yang juga Naib Presiden FAM, Shoot! yang akan dilancarkan secara rasmi hujung Februari ini, turut akan memperkenalkan ‘e-dagang’ yang membuka peluang baharu kepada setiap kelab Liga M menjana sumber pendapatan baharu. 

“Shoot! juga mampu menjana pendapatan kelab-kelab bola sepak (FC) dalam Liga M selain sumbangan penaja, kutipan tiket perlawanan di stadium dan penjualan barangan cenderamata,” katanya. - KitaReporters


HAMIDIN Mohd. Amin (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata jersi sebagai tanda penghargaan MFL kepada Emil Rinaldi Sjaiful (dua dari kanan). - Kredit foto: MFL.  

0
0
0
0
0
You will be interested