Alam & Sains 31 May, 2022

Terengganu tutup 32 taska! 368 kes jangkitan HFMD direkodkan seluruh Terengganu! Mac-Mei 2022!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


PENYAKIT Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak di negeri Terengganu ada menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan bukan sahaja kepada ibu bapa malah pihak berkuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) turut memberi perhatian serius terhadap penyakit berkenaan. 

Susulan itu, sebanyak 32 taman asuhan kanak-kanak (taska) di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditutup sementara sejak jangkitan HFMD menular di negeri ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan taman asuhan

Hanafiah Mat


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak tiga taska ditutup pada Mac 2022 diikuti 22 taska pada April manakala tujuh lagi bulan Mei 2022.

Katanya, penutupan taska tersebut  bagi membolehkan proses sanitasi premis dijalankan dan setakat ini hampir semua taska tersebut dibenar beroperasi semula selepas keadaan selamat.

"Arahan penutupan itu mengikut Subsesyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 dan setakat ini, Taska Permata Kampung Buluh di Hulu Terengganu masih ditutup hingga 2 Jun 2022,” katanya.



Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 368 kes jangkitan HFMD direkodkan di 32 taska seluruh Terengganu itu.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 76 kes dikesan pada Mac 2022 dan jumlahnya meningkat kepada 257 kes pada April 2022.

Bagaimanapun, katanya, kes HFMD di Terengganu semakin menurun dan terkawal dengan 34 jangkitan direkodkan pada Mei 2022.



“Saya harap ibu bapa sentiasa peka dengan HFMD dan membawa anak mereka ke hospital dengan segera jika ada tanda-tanda jangkitan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya sah HFMD, jangan hantar anak-anak ke taska bagi mengelak jangkitan kepada kanak-kanak lain

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pula akan melakukan penilaian sama ada operasi taska perlu ditutup atau sebaliknya.



Sementara itu, Pengarah JKNT Datuk Dr Kasemani Embong berkata, HFMD adalah penyakit berjangkit

Katanya, tindakan kuarantin atau asingkan anak-anak diperlukan sekiranya mereka menunjukkan gejala atau tanda HFMD.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan penyakit tersebut berjangkit kepada kanak-kanak lain,” katanya. - KitaReporters


Dr Kasemani Embong

14
14
1
11
0
You will be interested