Alam & Sains 21 Jan, 2021

Covid-19 di Jepun lebih parah! Katil hospital tak cukup! Ramai pesakit kena kuarantin di rumah

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

KETIKA pandemik Covid-19 di Malaysia berada pada tahap membimbangkan dengan angka jangkitan melebihi 3,000 kes setiap hari, keadaan di Jepun lebih parah. Angka jangkitan sehari lebih tinggi, pernah mencecah lebih 7,000 pada 15 Januari 2021. : KitaReporters


PARA petugas perubatan menjalankan tugas merawat pesakit Covid-19 di Hospital Perubatan, Universiti Perubatan dan Pergigian Tokyo. - Kredit foto: Kyodo.


Lagi cerita-cerita semasa berkaitan Covid-19:

https://kitareporters.com/coronavirus


Di Malaysia, meskipun kian berkurangan, tetapi masih ada katil untuk pesakit. 

Di Jepun penggunaan katil di kebanyakan hospital sudah mencapai tahap maksimum, lantaran tidak mencukupi untuk menampung keperluan semua pesakit. Akibatnya lebih 30,000 pesakit ‘tersadai’ di rumah.

Jepun yang sedang menghadapi gelombang ketiga pandemik pembunuh itu, mencatatkan 6,386 kes baharu pada Ahad 17 Januari 2021, menurun berbanding 7,100 kes pada 15 Januari 2021 dan 6,600 kes sehari sebelumnya (14 Januari 2021).   

Sehingga 18 Januari 2021, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Jepun ialah 322,296 dengan kematian berjumlah 4,446 orang. Jumlah yang sembuh pula ialah 248,488 orang.


Data terkini mengenai status Covid-19 di Jepun pada 21 Januari 2021. - Kredit foto: CoronaTracker


Dalam usaha membendung jangkitan ini, darurat telah diisytiharkan di metropolitan Tokyo mulai 7 Januari 2021. Darurat ini seperti juga pengisytiharan darurat di Malaysia dari 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

Darurat ini bertujuan mengekang warga metropolitan Tokyo daripada keluar rumah, di samping  memendekkan operasi pusat perniagaan serta restoran.

Untuk mempastikan usaha mengekang pandemik Covid-19 lebih berkesan dan menyeluruh, pengisytiharan darurat diperluas ke Osaka dan sembilan dearah lain. Namun ini masih belum menjamin katil hospital akan mencukupi menampung pesakit.  


PEMANDANGAN bandar raya Tokyo... Kawasan Metropolitan Tokyo kini dikenakan perintah darurat sebagai usaha mengekang penularan pandemik Covid-19. - Kredit foto: Live Japan.


Memetik laporan Kyodo, jumlah pesakit Covid-19 yang menjalani rawatan di rumah bagi minggu 16 Januari 2021 ialah 30,208, meningkat 1.7 kali ganda berbanding minggu sebelumnya.

Angka ini berbanding 14,806 pesakit yang dimasukkan ke hospital berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan.

Beberapa daerah merekodkan kadar penggunaan katil hospital yang terus bertambah, dengan beberapa daripadanya telah mencapai tahap empat (4), yang terburuk daripada skala 1 hingga 4 ditetapkan oleh kerajaan.

Pada minggu 16 Januari 2021, jumlah daerah yang berada dalam tahap empat ini melonjak kepada 19, berbanding dengan hanya lapan pada minggu sebelumnya.

Dalam usaha ‘menjimatkan’ katil di hospital, kerajaan menasihati pesakit yang tiada gejala, atau gejala tidak serius, duduk di rumah atau di hotel-hotel yang ditetapkan bagi membolehkan katil hospital digunakan untuk mereka yang dalam keadaan serius.

Daripada jumlah mereka yang menjalani rawatan di rumah, jumlah terbesar ialah di Tokyo, dengan jumlah 8,518 bagi minggu 16 Januari 2021, melonjak daripada hanya 3,000 orang pada minggu sebelumnya.

Kesemuanya jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di kawasan metropolitan Tokyo adalah 20,000, merangkumi kawasan Kanagawa, Chiba dan Saitama. 

Bagi daerah Osaka, Aichi dan Fukuoka pula mencatatkan 2,000 kes sehingga 13 Januari 2021.


ORANG ramai memakai pelitup muka berjalan di Stesen Kereta Api Shimbashi, Tokyo ketika Jepun menghadapi gelombang ketiga pandemik Covid-19. - Kredit foto: Kyodo.


Senario ini merupakan cabaran besar kepada pakerja perubatan untuk memantau pesakit jika berlaku situasi di mana keadaan mereka bertambah buruk.

Mereka yang dirawat di rumah tentunya menghadapi risiko lebih besar kerana tidak mendapat pemantauan seperti di hospital. 

Pihak berkuasa metropolitan Tokyo pada Rabu 13 Januari 2021 melaporkan dua pesakit di rumah meninggal, seorang lelaki berusia 80 tahun dan seorang perempuan berusia 50 tahun.

Selain metropolitan Tokyo, kamatian di rumah juga dilaporkan di Kanagawa dan Hiroshima.


SATU daripada 108 rangkaian restoran Kushikatsu Tanaka di Tokyo ditutup sehingga awal Februari, kesan perisyhtiharan darurat di metropolitan Tokyo. - Kredit foto: Ken Kobayashi.


Menurut laporan Nikkei Asia, beberapa syarikat besar menjangka pendapatan mereka akan terjejas teruk dengan pengisytiharan darurat tetapi mereka tetap bersedia menghadapi waktu yang sukar ini.

Mereka tidak membantah pengisytiharan darurat walaupun ada yang menjangka bisnes akan merosot sehingga 21 peratus. Namun ada yang menjangka lebih rendah daripada itu. 

Cuma mereka berharap kerajaan berusaha keras mengekang penularan wabak tersebut segera.

Bagaimanapun rangkaian restoran dijangka menerima tempias teruk akibat perisytiharan darurat sehingga ada yang menutup perniagaan sekurang-kurangnya sehingga bulan Februari.

Misalnya rangkaian restoran Kushikatsu Tanaka Holdings, antara yang terbesar di Jepun, memutuskan menutup 108 rangkaian restoran mereka sehingga awal Februari. Pasti dengan langkah ini ia kehilangan pendapatan yang bukan sedikit jumlahnya.

Walau pun sukar dan perit dirasai, itulah realiti yang perlu diterima dan dihadapi untuk memastikan usaha mengekang penularan Covid-19 berjaya. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested