Alam & Sains 05 Aug, 2021

Mahir Cakna! Program Wakaf Komputer Riba! Planet Mahir bantu pembelajaran online pelajar B40!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


PRIHATIN dengan masalah pembelajaran dalam talian yang dihadapi pelajar-pelajar golongan B40, Planet Mahir Sdn Bhd mengambil inisiatif memberi bantuan menerusi Program Wakaf Komputer Riba di bawah projek Mahir Cakna.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bantuan komputer riba yang diwakafkan oleh orang ramai itu akan dihulurkan khusus kepada pelajar B40 yang menyertai Program Mahir Tutor di seluruh negara anjuran syarikat itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pembelajaran online


"Kita menyasarkan juga bantuan komputer riba yang diwakafkan itu kepada sekolah-sekolah yang menyertai program Mahir Tutor bagi membolehkan pembelajaran online (dalam talian) oleh pelajar-pelajar golongan B40 berjalan dengan lebih sempurna.

"Justeru, saya mengajak warga Malaysia yang prihatin untuk bersama-sama Planet Mahir untuk mewakafkan komputer riba untuk kita serahkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukannya," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada 3 Ogos 2021.



Tambah Dr. Ramzi, keutamaan bantuan komputer riba itu diberikan kepada pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Program wakaf komputer riba itu jelas beliau lagi, dibuka untuk orang ramai menyumbang sehingga bulan Disember 2021.

Pemilihan pelajar yang akan diberikan bantuan komputer riba itu akan dicadangkan oleh pihak sekolah yang menyertai program Mahir Tutor.

Untuk rekod, program Mahir Tutor kini mempunyai 50,000 orang pelajar yang ditaja melalui Program Wakaf Pendidikan.

Pihaknya menyasarkan untuk mengumpul sejumlah seribu unit komputer daripada orang ramai yang sudi mewakafkannya.




Setakat ini, sejumlah 20 unit komputer riba telah diserahkan kepada pelajar B40 sejak Jun 2021.

Terbaharu, dua pelajar B40 di sekitar Damansara, Muhammad Putra Aiman Painasir dan Nur Sayyidatul Jalilah Zukeply menerima sumbangan komputer riba daripada program wakaf berkenaan.

Planet Mahir, kata Datuk Dr. Ramzi turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak-pihak yang menyertai Program Wakaf Komputer Riba anjurannya itu.

"Kami utamakan sumbangan dalam bentuk komputer riba. Walau bagaimanapun, sumbangan dalam bentuk wang tunai tetap juga diterima dan kami akan membeli komputer riba dengan wang sumbangan tersebut bagi memudahkan pelajar-pelajar dapat terus menggunakannya," jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Orang ramai yang ingin menyertai program wakaf komputer riba itu boleh menghubungi talian 0195240201 atau emel ke alamat fatihah@planetmahir.com. - KitaReporters

1
0
0
0
1
You will be interested