Alam & Sains 09 Sep, 2021

Komik web Uncover Life dibangunkan! Dilancarkan sempena Hari Dermatitis Atopik Sedunia 14 Sept!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Kredit foto: Action Eczema


Laporan More Than Skin Deep: Atopic Dermatitis in Malaysia (Dermatitis Atopik di Malaysia: Bukan Sekadar Masalah Kulit) mendedahkan hakikat dermatitis atopik di Malaysia, masalah keradangan kulit kronik yang sering disalahfahami

Memetik dapatan bahawa tahap kesedaran yang rendah dan salah faham berterusan menyumbang kepada kelewatan diagnosis dan pengurusan penyakit yang lemah, maka kempen #UncoverLife - Dermatitis Atopik, Bukan Sekadar Masalah Kulit dilancarkan dengan tujuan menggalakkan pesakit, penjaga dan anggota penjagaan kesihatan agar bebas daripada keadaan ini dan menyingkap kehidupan.

Kempen ini dianjurkan, bersempena Hari Dermatitis Atopik Sedunia yang disambut pada 14 September setiap tahun oleh Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM) dengan kerjasama artis komik pemenang anugerah Erica Eng dan Persatuan Ekzema Malaysia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan




Bercakap mengenai kempen tersebut dalam satu kenyataan, Dato’ Dr Noor Zalmy Azizan (gambar atas), Pakar Perunding Dermatologi dan Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia berkata: “Memang sangat perlu untuk meningkatkan kesedaran pesakit dan masyarakat kerana kesalahfahaman boleh menghalang orang mendapatkan nasihat dan rawatan perubatan

"Bagi membantu melenyapkan fakta yang salah mengenai dermatitis atopik dan menjelaskan liku-liku yang dilalui pesakit, kami bekerjasama dengan artis Malaysia Erica Eng untuk membangunkan siri komik web supaya orang boleh melihat dermatitis atopik daripada perspektif pesakit

"Dengan mempersembahkan masalah ini dalam medium visual dan mudah difahami, kami berharap lebih ramai pesakit akan mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat supaya mereka boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan sokongan daripada orang lain

"Inilah sebabnya mengapa nama kempen kami juga merupakan satu seruan untuk bertindak, kepada pesakit dermatitis atopik untuk menyingkap kehidupan.”



Siri komik web ini mengungkap dugaan, kesengsaraan dan kejayaan Shomendra, Elaine, dan Iris sepanjang perjalanan peribadi mereka menangani cabaran fizikal, emosi dan sosial dalam menguruskan dermatitis atopik

Dengan lebih 20 peratus kanak-kanak Malaysia terkesan oleh dermatitis atopik dan ramai yang terus mengalami gejalanya sehingga dewasa, kempen #UncoverLife adalah relevan kepada sebahagian besar penduduk Malaysia.

“Walaupun prevalens sebenar tidak diketahui kerana ramai pesakit masih belum didiagnos, tetapi kita tahu bahawa dermatitis atopik mempengaruhi pesakit dalam pelbagai keadaan, daripada penampilan fizikal kepada kesihatan mental mereka, bahkan ia juga memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk belajar dan bekerja. 

"Bagaimanapun, kebanyakan orang tidak faham beban individu yang hidup dengan dermatitis atopik,” kata Dr Peter Ch’ng Wee Beng, Pakar Perunding Dermatologi, Exco Persatuan Dermatologi Malaysia dan Pengerusi Lembaga Dermatologi Kosmetik & Perubatan Laser dalam kenyataan yang sama. 

“Selain tanda-tanda yang jelas seperti kulit kering, mengelupas atau kelihatan bersisik yang mengundang renungan orang, dermatitis atopik juga menyebabkan kegatalan melampau yang sukar untuk tidak mengendahkannya dan ia membuatkan pesakit tidak boleh tidur nyenyak. 

"Manakala pada mereka yang mengalami masalah kulit merekah pada tangan dan kaki, untuk melakukan rutin harian yang asas juga sangat mencabar,” tambahnya.



Menyedari perkara ini, Laporan More Than Skin Deep: Atopic Dermatitis in Malaysia juga menyoroti keperluan bagi meningkatkan rangkaian sokongan untuk pesakit. 

Ia menyarankan penubuhan kumpulan sokongan pesakit kebangsaan untuk memberi sokongan emosi dan psikologi dalam menangani isu seperti kesunyian dan stigma sosial. Kumpulan ini juga memainkan peranan penting dalam menyediakan maklumat yang boleh dipercayai dan membantu melenyapkan mitos.

“Banyak nasihat yang berniat baik adalah berdasarkan mitos yang kekal berlegar dalam talian. Ramai pesakit masih diberitahu bahawa dermatitis atopik hanyalah masalah kulit yang biasa yang mudah disembuhkan dengan penawar ini dan itu, atau mereka dilayan seperti orang terbuang kerana ada pihak percaya ia boleh berjangkit atau disebabkan kurang menjaga kebersihan. Ini memberi kesan besar kepada kesihatan mental pesakit,” jelas Dr Leong Kin Fon, Pakar Perunding Dermatologi Paediatrik dan merangkap penasihat kumpulan sokongan pesakit, Persatuan Ekzema Malaysia

“Inilah sebabnya mengapa pesakit memerlukan lebih daripada pemahaman dan sokongan, yang sepatutnya datang dari sumber kukuh seperti kumpulan sokongan pesakit kebangsaan yang terdiri daripada kalangan pesakit, dan mendapat nasihat badan perubatan contohnya Persatuan Dermatologi Malaysia,” katanya lagi.



Pakar juga bersetuju bahawa sokongan sesama pesakit berfungi selari dengan rawatan dan pengurusan penyakit yang berkesan.

“Rakan-rakan pesakit boleh menjadi sumber bantuan yang bagus kepada pesakit lain, mendorong mereka untuk menjalani diagnosis yang tepat, mendapatkan nasihat perubatan, dan mematuhi rawatan supaya mereka dapat menguruskan keadaan diri sendiri dengan baik. 

"Tambahan pula, oleh kerana dermatitis atopik adalah masalah rumit yang mempengaruhi setiap pesakit dengan cara berbeza, pesakit dengan dermatitis atopik tahap sederhana ke teruk mungkin mendapat manfaat daripada bentuk terapi tambahan, seperti biologik, yang hanya boleh diberikan oleh pakar,” sambung Dr Peter Ch’ng. 

“Ini memperkukuhkan lagi kepentingan diagnosis dan rawatan, di mana tanpanya pesakit mungkin tidak mengalami perubahan yang signifikan dalam pengurangan gejala mereka,” ujarnya lagi


Kredit foto: Mashable SEA


Artis komik Erica Eng (gambar atas), yang membangunkan siri komik web, memahami perkara ini kerana dia sendiri mengalami dermatitis atopik.

“Saya tahu bagaimana rasanya - ketidakselesaan, kegatalan, tidak boleh tidur, semua kesukarannya. Pada mulanya, saya tidak tahu langsung mengenainya, dan alangkah leganya apabila didiagnos, jadi saya tahu apa yang perlu dilakukan. 

"Pengalaman saya itu membolehkan saya berasa empati dengan pesakit yang kisahnya dipaparkan dalam komik web, dan saya berbesar hati dapat membantu menyebarkan kesedaran mengenai dermatitis atopik di samping berkongsi suara hati pesakit menjalani kehidupan bersama penyakit ini dan bagaimana ia memberi kesan kepada mereka,” kata Erica. 

“Saya berharap setiap orang yang membaca komik itu akan lebih memahami perasaan pesakit dan cabaran yang mereka hadapi, serta kongsikan komik berkenaan supaya orang lain juga boleh belajar,” tambahnya

Siri komik web kini boleh didapati di laman mikrosit #UncoverLife di https://uncoverlife-ad.com/.

Ketahui lebih lanjut mengenai dermatitis atopik dari halaman Facebook Persatuan Ekzema Malaysia di https://www.facebook.com/groups/1226038834396732/ atau kunjungi  www.dermatology.org.my untuk mencari pakar dermatologi. - KitaReporters


18
10
0
12
0
You will be interested