Pada 26 Oktober 2023 lalu, seorang pengguna Facebook bernama Norlleyla Abdullah, 32, telah berkongsi beberapa buah rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya.
Dalam video tersebut, kedengaran CCTV memberi amaran
kerana ia mengesan sesuatu di hadapan rumah. Dalam beberapa video yang dikongsi
itu, kelihatan samar-samar bayangan berwarna putih di hadapan rumah.
“Subuh tadi alarm CCTV asik bunyi tak henti2-henti. Sis siap bukak pintu. Nasib dia tak tanya masak apa hari ni. Akhirnya petang tadi suami hantar rakaman CCTV. Terkejut! Nah, ke hulur ke hilir dia kat situ,” tulisnya.
Perkongsiannya itu telah mengundang pelbagai komen
daripada netizen. Pelbagai tekaan dan andaian dilontarkan. Kebanyakan daripada
mereka mengatakan entiti tersebut adalah pocong.
Justeru, bagi mendapatkan penjelasan lanjut, KitaReporters menghubungi Norlleyla menerusi mesej di Facebook.
Menurut ibu kepada tiga orang anak ini, kejadian berlaku ketika awal subuh saat dia menyediakan bekal untuk anak-anak pergi ke sekolah.
“Hari itu seperti biasa pada awal subuh saya memasak bekalan anak-anak. Tiba-tiba saya terdengar CCTV berbunyi. Saya buka pintu untuk melihat tetapi tiada sesiapapun. Kemudian saya kembali sambung masak macam biasa.
"Selepas itu saya menghantar WhatsApp kepada suami bagi tahu subuh tadi CCTV berbunyi. Pada tengah hari, suami periksa rakaman dan forward kepada saya,” ceritanya yang menetap di Tanjung Karang, Selangor.
Ramai yang mendakwa entiti tersebut adalah pocong.
Tambah Norlleyla lagi, ini bukan kali pertama
kawasan rumahnya diganggu. Cuma, dia bernasib baik kerana gangguan itu tidak
terkena kepada keluarganya tetapi kepada adik-beradik dan kedua-dua orang tuanya
yang datang melawat. Mereka diganggu dengan pelbagai perkara mistik.
“Pernah banyak kali ahli keluarga (adik-beradik dan mak ayah) yang datang kena kacau. Tapi keluarga kami tak pernah kena. Kami tak ambil tahu sangat sebab sebelum ni tiada CCTV.
"Punca utama kami pasang CCTV setelah kejadian air paip asyik terbuka ketika waktu subuh. Jadi, kami pasang CCTV sebab nak tahu siapa yang buka air paip itu,” katanya.
Norlleyla akui dia terkejut ketika melihat rakaman dari CCTV yang dihantar oleh suaminya itu.
Setelah kejadian rakaman entiti tersebut, Norlleyla
sekeluarga mula dilanda perasaan takut. Namun, setakat ini mereka tidak berbuat
apa-apa seperti berjumpa ustaz atau lain-lainnya.
“Kami mula rasa takut dan sekarang semua tidur dalam satu bilik. Saya dan suami tidur atas katil, manakala anak-anak tidur di bawah. Buat masa ini kami memang tak jumpa mana-mana ustaz lagi. Kami tak tahu mana-mana ustaz yang boleh tolong,” ujarnya.
CCTV asyik berbunyi menyebabkan Norlleyla curiga.
Sementara itu, Norlleyla meluahkan rasa kecewa
terhadap segelintir netizen yang menuduhnya menipu dan cuba menjual CCTV.
“Saya tak nak balas komen atau jarang melihat
komen-komen. Mereka mendakwa itu sarang labah-labah. Padahal saya dan suami
sudah periksa dan ia bukan sarang labah-labah sementelah CCTV ini masih baharu.
Malah ada yang menuduh kami sebenarnya mahu menjual CCTV. Kami bukan penjual
CCTV,” tegasnya.
Sebagai orang Islam kita wajib mempercayai selain
manusia, jin atau syaitan itu wujud seperti mana yang diceritakan dalam
al-Quran. Namun, dalam era teknologi yang serba canggih ini, ada segelintir
manusia yang suka ambil kesempatan.
Manusia seperti inilah yang merosakkan kepercayaan orang ramai. Benda betul dikatakan menipu dan juga sebaliknya. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Apapun, terpulang kepada anda untuk percaya atau tidak. - KitaReporters
Norlleyla bersama suami, Alin Fatah yang bekerja sebagai juruteknik.