Alam & Sains 23 Oct, 2024

Sistem Akuaponik Kos Rendah UMT! Projek ikan tilapia Masjid Menggabang Telipot, Kuala Nerus dilancar!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Sistem LB-Ponic Prototaip kedua yang 10 x 5 x 3 kaki, dan mempunyai penambahbaikan dari segi sistem perpaipan, pengudaraan dan sistem penapisan air.


Program pelepasan benih ikan tilapia ke dalam sistem LB-Ponic (Low Budget Aquaponic atau Akuaponik Kos Rendah) yang dilancarkan di Masjid Menggabang Telipot, Kuala Nerus pada 29 September 2024, menandakan satu lagi langkah maju dalam usaha memperkasakan ekonomi komuniti tempatan.

Program ini merupakan sebahagian daripada Projek Peningkatan Pendapatan Komuniti Madani menggunakan Sistem Akuaponik Kos Rendah untuk ternakan ikan tilapia, yang diketuai Dr. Norhidayah Abdul Manan bersama penyelidik dari Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE), Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). 

Projek ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Dana Komuniti Madani @ UniMadani Kementerian Kewangan Malaysia dan bertujuan untuk melahirkan 10 usahawan dalam bidang ternakan ikan tilapia, sekali gus menyokong matlamat Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025.

Dr. Norhidayah menyatakan "projek ini bukan sekadar membina sistem akuaponik, tetapi juga memberi peluang ekonomi baharu untuk komuniti ini. 

"Setiap komponen sistem LB-Ponic mewakili potensi pertumbuhan ekonomi bagi peserta kami."

Sebagai ketua projek, Dr. Norhidayah turut berkongsi visinya untuk masa depan. 

"Kita mengharapkan di masa akan datang lebih ramai komuniti yang berkecimpung dalam bidang akuakultur sama ada secara kecil-kecilan di halaman rumah mahupun secara komersial. 

"Dengan sistem LB-Ponic ini, ia memudahkan lagi pengurusan penternakan ikan dilaksanakan," katanya.


Dr. Norhidayah Abdul Manan


Sebanyak 5 buah tangki LB-Ponic telah ditempatkan di pekarangan masjid, dengan 15 buah lagi akan dipasang di rumah-rumah komuniti terpilih. 

Setiap sistem LB-Ponic mampu menampung 500 ekor ikan tilapia dan menyediakan ruang untuk 100 tanaman sayuran seperti sawi, kangkung, kalian dan bayam.

Abdul Rahman Yusof, Pengerusi Masjid Mengabang Telong, berkongsi pandangannya, "Kehadiran sistem LB-Ponic ini telah menjadikan kawasan masjid lebih hidup. 

"Ia kini berfungsi bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga pusat pembelajaran dan aktiviti ekonomi komuniti."

Projek ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif "Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme" (Skim Geran Penyerapan Pengetahuan dan Teknologi) atau KTAGS yang merupakan dana dalaman daripada pengurusan UMT di bawah kelolaan Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat (PPIJIM) UMT. 

Melalui dana ini, 8 buah prototaip LB-Ponic pertama bersaiz 6 x 3 x 3 kaki telah berjaya dibina dan diagihkan kepada dua buah asrama anak-anak yatim, tiga buah rumah komuniti dan satu buah di Masjid Menggabang Telong. 

Hasil daripada prototaip pertama yang memberangsangkan itulah yang menjadi pencetus bagi mengorak langkah memperkembangkan LB-Ponic ke skala komersial.

Kumpulan sasar projek ini terdiri daripada 10 orang ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Kg. Mengabang Telong, yang sebelum ini telah mengikuti kursus modul penternakan ikan tilapia di bawah dana KTAGS. 

Para peserta akan bergilir-gilir menguruskan ikan tilapia dan sayuran yang ditanam dalam sistem LB-Ponic. 

Prototaip kedua LB-Ponic adalah bersaiz lebih besar daripada prototaip pertama iaitu 10 x 5 x 3 kaki, dan mempunyai penambahbaikan dari segi sistem perpaipan dan sistem penapisan air.

Salah seorang peserta, Ab. Manaf Mat Diah, turut berkongsi pengalamannya, "Melalui projek ini, kami bukan sahaja belajar tentang teknologi akuaponik, tetapi juga tentang pengurusan perniagaan kecil-kecilan. 

"Ia membuka peluang baharu untuk kami meningkatkan pendapatan keluarga."


Para peserta dan pegawai UMT bergambar bersama benih ikan tilapia dan makanan ikan yang telah disumbangkan oleh pihak UMT melalui Dana Komuniti @ UniMadani Kementerian Kewangan Malaysia


Selain memberi impak positif kepada ekonomi tempatan, projek ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 14 PBB melalui penternakan ikan secara lestari yang tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

Dengan pelancaran program ini, diharapkan lebih ramai komuniti tempatan dapat memanfaatkan teknologi akuaponik kos rendah untuk meningkatkan pendapatan dan menyumbang kepada sekuriti makanan negara. 

LB-Ponic bukan sekadar sistem akuaponik; ia adalah pemangkin perubahan yang membawa peluang ekonomi baharu kepada komuniti madani di Kuala Nerus. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
11
0
11
0
You will be interested