Oleh AMIRUL SALAM HASAN
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Musibah banjir yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini mengingatkan kita bahawa hubungan manusia dengan alam sentiasa bersifat dinamik.
Walaupun teknologi ramalan cuaca semakin maju, alam tetap mempunyai aturan tersendiri yang kadangkala berada di luar jangkaan.


Dalam konteks ini, pendekatan yang lebih seimbang diperlukan iaitu memahami faktor saintifik di sebalik kejadian di samping menerima bahawa sebahagian daripadanya adalah ketentuan yang perlu dihadapi dengan ketabahan dan kesediaan.
Menurut Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang, hujan lebat berterusan berpunca daripada interaksi dua sistem cuaca utama.
Pertama ialah ribut Senyar yang terbentuk di utara Laut China Selatan yang membawa awan tebal serta hujan intensif ke Semenanjung Malaysia.
Kedua ialah Monsun Timur Laut yang memang aktif antara November hingga Mac.
Pertembungan ini menyebabkan hujan turun dengan kadar tinggi dalam masa yang panjang dan fenomena ini dijangka boleh berulang sekiranya pola cuaca serantau kekal tidak stabil.
Justeru langkah kesiapsiagaan masyarakat dan pihak berkuasa tidak boleh dipandang ringan.

Namun, memahami saintifik suatu musibah sahaja tidak mencukupi. Banjir turut menguji ketahanan mental dan spiritual masyarakat.
Sebahagian penduduk terpaksa berpindah, mengurus kerosakan rumah atau berhadapan ketidaktentuan selepas air surut.
Dalam keadaan sebegini, kekuatan spiritual menjadi landasan untuk menenangkan keresahan, bukan sebagai bentuk pasrah semata-mata tetapi sebagai kekuatan untuk terus berusaha memperbaiki keadaan.
Sikap saling membantu yang ditunjukkan masyarakat adalah antara aspek paling positif setiap kali banjir berlaku.
Di lapangan, kita melihat bagaimana penduduk setempat, sukarelawan, agensi keselamatan dan pertubuhan bukan kerajaan bertindak pantas membantu mangsa.
Ada yang mengurus pusat pemindahan, mengagihkan makanan, membersihkan rumah atau menyediakan sokongan moral kepada mereka yang terkesan.
Semangat ini wajar terus dipupuk kerana ia membuktikan bahawa nilai ihsan dan kemanusiaan masih menjadi teras masyarakat kita tanpa mengira latar belakang atau perbezaan lain.

Selepas banjir, proses pemulihan sering mengambil masa panjang. Mangsa memerlukan sokongan berterusan bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga penyusunan semula kehidupan seharian.
Komuniti boleh memainkan peranan penting melalui gotong-royong, bantuan barangan asas serta perkongsian maklumat mengenai bantuan kerajaan dan organisasi lain.
Ini bukan sahaja meringankan beban mangsa, malah mengukuhkan jaringan sosial yang menjadi pelindung masyarakat ketika berdepan cabaran.
Dalam jangka panjang, adaptasi terhadap perubahan cuaca perlu diberikan perhatian.
Amaran awal cuaca, sistem saliran berkesan serta perancangan penggunaan tanah yang lebih teliti adalah antara aspek yang boleh ditambah baik.
Pada masa sama, kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar termasuk penjagaan sungai, kawasan tadahan air dan pengurusan sisa merupakan aspek penting bagi mengurangkan kesan bencana pada masa hadapan.
Pendekatan yang holistik membolehkan kita bergerak daripada bersikap reaktif kepada lebih proaktif.
Akhirnya, banjir mengingatkan kita tentang perlunya keseimbangan antara sains, tindakan dan nilai kemanusiaan.
Penjelasan cuaca oleh pakar seperti Dr. Jing membantu kita memahami punca bencana, manakala usaha sukarelawan pula menunjukkan kekuatan kerjasama.
Ketabahan mangsa mencerminkan keupayaan masyarakat untuk bangkit bersama.

Berdamai dengan takdir bukan bermaksud mengabaikan tindakan. Sebaliknya, ia menggalakkan kita menerima keadaan dengan bijaksana sambil berusaha memperkukuh persiapan, meningkatkan empati dan memupuk sikap saling membantu.
Pendekatan ini bukan sekadar menghadapi banjir malah membina masyarakat yang lebih berdaya tahan, teguh dan memupuk nilai ihsan.
Amirul Salam Hasan ialah Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalah pandangan penulis.

Amirul Salam Hasan