Alam & Sains 07 Oct, 2025

Mahu jadi negeri pintar terawal! Johor pacu Agenda Bandar Pintar! Johor Smart City Blueprint 2030!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Urbanisasi pesat, perubahan iklim serta perkembangan digital kini menjadikan konsep bandar pintar sebagai keperluan mendesak, bukan lagi pilihan dan Johor muncul antara negeri terawal menyahut cabaran itu dengan menetapkan aspirasi menjadi negeri pintar menjelang 2030 bertepatan dengan Agenda Bandar Pintar 2030.



Mohd. Jafni Md. Shukor berucap merasmikan Johor Smart City Forum (JSCF) 2025.


Aspirasi ini digariskan menerusi Rancangan Struktur Negeri Johor dan diperkukuh dengan Johor Smart City Blueprint 2030 (Pelan Tindakan Bandar Pintar Johor 2030) yang menjadi panduan pelaksanaan transformasi bandar pintar berasaskan tujuh dimensi utama.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, tujuh dimensi tersebut adalah tadbir urus pintar, kehidupan pintar, mobiliti pintar,  ekonomi pintar, persekitaran pintar, rakyat pintar dan infrastruktur digital pintar.


Mohd. Jafni menyampaikan dokumen Pelan Tindakan PBT kepada YDP Majlis Perbandaran Pontian.


"Sehingga kini, sebanyak 55 projek perintis bandar pintar telah digerakkan di seluruh negeri, dengan hampir 90 peratus adalah dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

"Mulai tahun ini (2025), semua PBT diberi mandat menyertai program Penarafan Bandar Pintar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) Johor akan menyelaras 16 PBT untuk menepati indikator yang ditetapkan," katanya.  

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Johor Smart City Forum (Forum Bandar Pintar Johor atau JSCF) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 September 2025 lalu di Persada Johor International Center. 


Mohd. Jafni mendengar penerangan salah seorang kakitangan Majlis Perbandaran Pontian ketika melawat gerai pameran PBT tersebut.   

Menurutnya, daripada penarafan itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) muncul satu-satunya PBT negeri yang mencapai tahap tertinggi, iaitu Leading Smart City (Pendahulu Bandar Pintar) dengan 63 indikator, mengatasi tahap Developing dan Early Adopter.

Selain itu, buat julung kalinya, JSCF 2025 disertai wakil antarabangsa termasuk Korea, Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand, sekali gus menjadikan Johor hab perbincangan bandar pintar ASEAN.

Forum itu turut menganjurkan Dialog Bandar Pintar bersama Exco-exco perumahan dan kerajaan tempatan negeri lain, di samping memberi ruang perkongsian pengalaman serta membentuk jaringan kerjasama.


Mohd. Jafni (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru,Datuk Mohd. Hafiz Ahmad (dua dari kanan), Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar  Puteri, Hasrin Kamal Hashim (dua dari kiri) dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd. Masni Wakiman (tiga dari kiri). 


Sementara itu, asas ekonomi kukuh turut mempercepat transformasi Johor yang merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 sebanyak 6.4 peratus iaitu tertinggi dalam negara dan mengatasi purata nasional.

Pada suku kedua 2025, nilai pelaburan diluluskan di Johor mencecah RM56 bilion, manakala Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dijangka melahirkan 50 projek serta 20,000 pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun.

"Dalam sektor digital, Johor meluluskan 48 projek pusat data bernilai RM164.45 juta, sekali gus mampu menjana 6,000 pekerjaan dan memperkukuh ekosistem teknologi pintar.

"Di samping itu, Johor kekal peneraju pertanian negara dengan nilai jualan tertinggi sebanyak RM27.2 bilion, menurut Banci Pertanian 2024. Ini membuktikan keseimbangan antara sektor tradisional dan digital," katanya.


Penyerahan dokumen Pelan Tindakan PBT kepada YDP Majlis Perbandaran Muar. 


Di lapangan pula, MBJB menubuhkan Johor Bahru Integrated Command Centre (Pusat Pengawalan Bersepadu Johor Bahru atau JBIOCC) untuk mengintegrasikan pemantauan trafik, keselamatan awam dan aduan komuniti.

Pemasangan 500 unit CCTV Pintar di sekitar bandar dengan sasaran 2,000 unit serta pengenalan Smart Traffic Light (Lampu Isyarat Pintar) turut membantu mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan.

Kerajaan negeri juga melaksanakan sistem amaran awal banjir melalui pemantauan paras air sungai secara masa nyata, selain pemasangan Smart Bin (Tong Sampah Pintar) untuk mempertingkat pengurusan sisa pepejal.

"Semua langkah ini memperlihatkan bahawa konsep bandar pintar Johor menekankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar, seiring dengan adaptasi teknologi moden.

"Dengan peruntukan sejumlah RM56 juta bagi pembangunan bandar pintar tahun 2026, Johor membuktikan kesungguhan melaksanakan transformasi ke arah negeri pintar menjelang 2030," katanya. - KitaReporters


Sebahagian YDP Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menerima dokumen Pelan Tindakan PBT masng-masing.


Antara yang hadir ke majlis perasmian JSCF 2025 di Persada Johor International Center, Johor Bahru pada 22 September 2025.


8
7
0
12
0
You will be interested