Alam & Sains 12 Apr, 2021

Besut kini zon merah COVID-19! Kluster Belaoh bimbangkan penduduk! Lima kampung di bawah PKPD

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


KEMUNCULAN Kluster Belaoh bukan sahaja menghantui penduduk di Kawasan Hulu Besut, malah ia semakin membimbangkan seluruh penduduk di daerah Besut, Terengganu apabila pandemik COVID-19 di daerah itu terus meningkat berpunca daripada kluster berkenaan. 

Sejak seminggu lalu daerah itu berada dalam keadaan zon kuning tetapi kini sudah bertukar kepada zon merah, menjadikan daerah itu satu-satunya yang dikategorikan zon merah di negeri ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Besut




Susulan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) membabitkan tiga kampung iaitu Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak di Hulu Besut berkuat kuasa bermula 7 April 2021 lalu.

Bagaimanapun, pelaksanaan saringan COVID-19 diperluas kepada  dua lagi kampung yang terletak berhampiran kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hulu Besut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, saringan yang dilaksanakan sejak Sabtu 10 April 2021 itu membabitkan Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak berhampiran Kampung Belaoh, Kampung Keruak serta Kampung Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru yang dikenakan PKPD susulan kewujudan Kluster Belaoh.



Dr Nor Azimi Yunus


Katanya, seramai 1,094 penduduk dari dua kampung berkenaan terlibat dalam ujian saringan kali ini kerana sudah ada percampuran (penduduk) antara mereka dengan tiga kampung yang dikenakan PKPD.

Dr Nor Azimi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pertambahan kes positif dari lima kampung terbabit adalah susulan saringan yang sedang giat dilaksanakan.

“Terengganu kini mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) 1.53 sedangkan dua minggu lepas, kita merupakan yang terendah iaitu 0.53 sahaja,” katanya.

Kluster Belaoh yang didaftarkan pada 6 April 2021 adalah kluster komuniti melibatkan daerah Besut dan Marang di Terengganu serta Bachok di Kelantan. 

“Penilaian mendapati terdapat risiko penularan jangkitan COVID-19 yang tinggi di kampung terbabit ini, maka PKPD telah dilaksanakan di Kampung Belaoh termasuk dua kampung berhampiran iaitu Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak.” katanya. 



Ramadan 2021 bakal menjelma pada Selasa 13 April 2021 juga bakal disambut dalam keadaan muram oleh penduduk daerah itu kerana SOP di masjid dan surau turut diperketatkan berikutan peningkatan penularan pandemik tersebut. 

Malah, Kerajaan Negeri Terengganu tidak menolak kemungkinan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan di Besut ekoran peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di daerah itu sejak akhir-akhir ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak mengesahkan menerima cadangan pembatalan bazar Ramadan di Besut sebagai langkah bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di daerah tesebut. 

Katanya, berdasarkan perancangan awal, sebanyak 10 bazar Ramadan dengan 292 petak niaga akan dibuka Besut mulai 1 Ramadan yang dijadual esok, Selasa 13 April 2021.

Beliau berkata, cadangan (membatalkan penganjuran Bazar Ramadan di Besut) itu sedang diperinci dan sebarang keputusan masih belum dimuktamadkan.

Setakat ini, Kluster Beloah tersebut telah mencatatkan 72 kes positif COVID-19 termasuk 23 orang pada Sabtu, 10 April 2021. 

Pada 11 April 2021, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan pertambahan tujuh kes discaj dan 34 kes baharu COVID-19 menjadikan terdapat 153 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,757 kes. Kesemua 153 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa. - KitaReporters


 

 

 

0
1
2
0
1
You will be interested