Alam & Sains 17 Jan, 2021

Sharimah ingat rumah usang dihanyutkan banjir! Rupanya bangkai kapal berusia lebih 200 tahun!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

SEORANG penduduk, Sharimah Mohd Nor, 50, tidak menyangka satu objek yang seakan sebuah rumah usang yang dihanyutkan air banjir, tetapi rupa-rupanya bangkai kapal yang dipercayai berusia hampir 200 tahun ditemukan berdekatan dengan jambatan gantung di Sungai Lipis di Kampung Pagar Penjom, Lipis, Pahang. : KItaReporters


BANGKAI kapal yang dipercayai berusia lebih 200 tahun lalu dijumpai berhampiran jambatan gantung di Sungai Lipis di Kampung Penjom, Lipis, Pahang pada 13 Januari 2021. - Kredit foto: Ihsan Pembaca


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kapal:

https://kitareporters.com/search?search=kapal


Sharimah berkata sebelum penemuan pada 13 Januari 2021 itu dia yang melihat dari jauh terfikir rumah usang itu akibat dihanyut air banjir besar di kawasan tersebut baru-baru ini. 

Menurutnya, sebelum kejadian banjir besar baru-baru ini tidak pernah kelihatan objek seperti itu berada berhampiran dengan jambatan gantung tersebut.



SEBAHAGIAN kapal yang dijumpai. - Kredit Foto : Ihsan Pembaca 


``Tetapi apabila saya menghampiri kawasan itu barulah saya sedar rupa-rupanya bangkai kapal lama dan ia bukanlah rumah usang seperti saya jangkakan tadi,’’ katanya yang menjumpai kapal tersebut pada pukul 5 petang. 

Berikutan dengan penemuan bangkai kapal yang dipercayai melalui Sungai Lipis sekitar tahun-tahun 1800-an menjadi gempar seketika apabila orang ramai di sekitar kampung itu datang melihat bangkai berkenaan.  


SEKEPING tulisan di tembaga yang terdapat di kapal tersebut.


Kapal terbabit terdapat tulisan pada sekeping logam ``VIVIAN & SONS’’ yang dipaku dengan paku tembaga dan beberapa bahagian lain di kapal itu kebanyakannya sudah tiada.

Vivian & Sons adalah syarikat Inggeris berkaitan logam dan kimia yang berpejabat di Hafod, di lembah Swansea di United Kingdom. Ditubuhkan pada 1810, tetapi tidak lagi beroperasi selepas 1924.

Syarikat tersebut menghasilkan jongkong dan kepingan tembaga, dengan hasil sampingan berupa asid sulfurik dan baja tiruan.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata rangka kapal itu dipercayai  timbul selepas banjir besar berlaku di daerah itu sejak 3 Januari 2021 lalu. 

Menurutnya, pihaknya telah melaporkan penemuan tersebut kepada Jabatan Warisan Negara untuk tindakan selanjutnya dan bangkai itu ada kaitan dengan warisan kebudayaan pada masa dahulu.


Kredit Foto : Ihsan Pembaca


``Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil atau merosakkan bangkai kapal itu kerana ia adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan undang-undang. 

``Jika sabit dengan kesalahan mereka boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 ataupun kedua-duanya sekali,’’ katanya. - KitaReporters

2
0
0
0
0
You will be interested