Alam & Sains 27 Mar, 2020

COVID-19: UMT, UMK HASILKAN SANITIZER SENDIRI

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

KESULITAN orang ramai mendapatkan bekalan cecair pembasmi kuman atau sanitizer di pasaran tempatan, akibat jumlah permintaan yang semakin meningkat terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  sejak 18 Mac 2020, mendorong pelbagai institusi terutama universiti mengambil inisiatif mengeluarkan produk sanitizer buatan sendiri. : KitaReporters

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar 


Sekurang-kurangnya dua institusi pendidikan tinggi di Pantai Timur iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sudah mengambil tindakan drastik mengeluarkan hand sanitizer untuk kegunaan warga universiti.

Usaha itu berikutan kekurangan bekalan di pasaran dan pihak universiti berkenaan kini menggunakan kepakaran mereka sendiri untuk menghasilkan produk yang amat penting ketika negara berhadapan dengan krisis COVID-19.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, kepakaran penyelidik UMT tidak dapat disangkal melalui ciptaan baharu yang mereka hasilkan produk terbabit.

Katanya, ini terbukti melalui kejayaan sekumpulan penyelidik yang sudah berjaya menghasilkan hand sanitizer keluaran UMT.

Sehubungan itu, katanya, UMT melalui Institut Bioteknologi Marin (IMB) berjaya menghasilkan produk itu untuk kegunaan seluruh warga universiti terbabit.

Beliau berkata, produk itu mengandungi bahan aktif berasaskan alkohol sebanyak 70 peratus.

UMT mengeluarkan 2,000 botol produk cecair pembasmi kuman pada Fasa 1 untuk kegunaan warga universiti terbabit.


UMT menggunakan kepakaran warganya mengenai alkohol memandangkan bahan berkenaan digunakan secara meluas dalam banyak produk cecair pembasmi kuman.

"Alkohol berupaya membunuh pelbagai jenis kuman seperti bakteria dan virus yang menyebabkan penyakit,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis, 26 Mac 2020.

Dr Nor Aieni berkata, ramuan tambahan seperti gel aloe vera digunakan bagi tujuan moisturising (pelembab) dan minyak essential berasaskan tea tree pula sebagai pengharum, di samping kesan antikuman.

Katanya, cara penyediaan produk keluaran UMT terbabit adalah mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan sedikit pengubahsuaian dari segi komposisi bahan yang digunakan.

Hand Sanitizer hasil ciptaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)


Beliau berkata, idea UMT untuk menghasilkan produk sendiri tercetus apabila wabak COVID-19 semakin  berleluasa dan negara telah mengalami  kekurangan bekalan bahan itu.

Katanya, sekumpulan penyelidik UMT yang diketuai Profesor Dr Yeong Yik Sung dan  Profesor Dr  Fadzilah @ Adibah Abdul Majid telah diberi kepercayaan mengetuai dan mencipta formula bagi menghasilkan produk keluaran UMT.

Profesor DR Yeong Yik Sung (kanan) dan Profesor Dr  Fadzilah @ Adibah Abdul Majid menunjukkan hasil  Hand Sanitizer ciptaan mereka.


Dr Nor Aieni berkata,  Dr Yeong dan pasukannya mengambil tindakan segera untuk menghasilkan produk berkenaan.

Namun sepanjang tempoh itu, pasukan UMT berhadapan kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah untuk penghasilan produk termasuk botol kosong kerana kebanyakan kedai ditutup berikutan PKP.

Kenyataan akhbar UMT

“Setakat ini, pihak UMT berjaya menghasilkan 2,000 botol bersaiz 50ML pada fasa pertama pengeluaran produk. 

“Produk keluaran UMT itu bukan untuk dijual sebaliknya untuk kegunaan dan dibekalkan kepada warga UMT.

"UMT turut bersadang untuk mengagihkannya kepada masyarakat sekitar UMT secara percuma apabila bahan mencukupi,” kata Dr Nor Aieni.

Beliau berkata, kos pembuatan mengeluarkan produk itu kini mencapai RM10,000 termasuk pembelian bahan keperluan untuk produk. - KitaReporters

3
0
0
0
0
You will be interested