Alam & Sains 13 Aug, 2025

Taiping dilanda habuk hitam! Tak kelihatan, berbahaya! JAS syak pencemaran kilang! Penduduk bimbang!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Habuk hitam yang tidak kelihatan dengan mata kasar dan dikatakan berbahaya dilapor melanda Taiping. Ekoran itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menerima lima aduan mengenai habuk hitam yang mencemari kawasan Taman Tekkah Jaya, Tekkah Damai dan Tekkah Permai, dekat Kamunting, di Taiping, Perak. - KitaReporters


Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh (dua dari kiri) bersama Teh Kok Lim (dua dari kanan) ketika mengadakan sidang media di Aulong, Taiping pada 12 Ogos 2025.


Habuk hitam yang tidak kelihatan dengan mata kasar dan dikatakan berbahaya dilapor melanda Taiping. Ekoran itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menerima lima aduan mengenai habuk hitam yang mencemari kawasan Taman Tekkah Jaya, Taman Tekkah Damai dan Taman Tekkah Permai, dekat Kamunting, di Taiping, Perak.

Aduan tersebut diterima pada 4 hingga 11 Ogos 2025 lalu membabitkan lebih 100 buah rumah di taman itu.

Habuk hitam halus itu tidak kelihatan dengan mata kasar dan berbahaya kepada kesihatan jika tidak ditangani dengan segera.

Justeru itu, JAS Perak yang telah membuat pemeriksaan dan mengenai pasti sebuah premis industri di sini sebagai punca habuk hitam tersebut.

Pengarah JAS Perak, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, pemeriksaan JAS pada 5 Ogos 2025 lalu mengesahkan aduan itu, lalu JAS mengaktifkan pemantauan kualiti udara menggunakan alat GRIMM dan Portable Multigas Analyzer-CEREX di Surau Nurul Iman, Kampung Tekkah pada 6 Ogos 2025 dan di kawasan pasar raya TF Value Mart pada 8 Ogos 2025.

Katanya, berdasarkan analisis data pemantauan udara yang dilaksanakan pada 6 hingga 11 Ogos 2025 didapati terdapat dua bacaan iaitu gas acetylene (asetilena) dan hydrogen cyanide (hidrogen sianida).

“JAS juga melaksanakan pemantauan menggunakan dron di kawasan yang berpotensi menyebabkan pencemaran dalam radius lima kilometer dari lokasi aduan.

“Hasil pemantuan tidak menemukan sebarang kesan pembakaran terbuka atau premis yang melepaskan pencemaran udara dalam kawasan yang dipantau,”  katanya dalam sidang akhbar di Aulong, Taiping, Perak pada Selasa, 12 Ogos 2025. 

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Teh Kok Lim.

Beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih buruk apabila tiupan angin membawa habuk ke kawasan penempatan penduduk menyebabkan lantai rumah, peralatan memasak dan bulu haiwan peliharaan turut dipenuhi lapisan habuk hitam.

Menurutnya, siasatan juga menggunakan dron dalam radius lima kilometer dan memeriksa lebih 20 hingga 30 premis industri, namun hanya satu premis disyaki menjadi punca pencemaran itu.


Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh (kanan) dan Teh Kok Lim (tiga dari kiri) menunjukkan peralatan yang digunakan untuk memeriksa tahap pencemaran udara di Kawasan Tekkah, Kamunting, Taiping.

Mohammad Ezanni menegaskan, premis tersebut dipercayai memproses berkaitan tayar dan dikesan gagal menyelenggara alat kawalan pencemaran udara.

Selain itu, premis berkenaan juga tidak menghantar laporan pemantauan seperti diwajibkan selain peralatan kawalan pencemaran yang ada didapati tidak berfungsi dengan baik.

“Kita sedang menunggu laporan kimia yang dijangka diperoleh dalam beberapa hari dan jika padanan habuk hitam di rumah penduduk dan di premis terbabit disahkan sepadan, tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 (Pindaan) 2024 kepada premis yang terlibat menyebabkan pencemaran habuk hitam ke kawasan rumah penduduk,

“Semua pihak industri diingatkan tindakan undang-undang  di bawah AKAS 1974 boleh dikenakan ke atas mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan dan menyebabkan pencemaran.

“Kita tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil tanpa memilih sama ada syarikat bertaraf antarabangsa atau tempatan,” ujarnya.

Menurutnya, kes pencemaran habuk hitam yang dilaporkan adalah yang pertama berlaku di Perak pada tahun ini (2025).

Sehubungan itu, JAS Perak menasihatkan penduduk supaya peralatan memasak dibersihkan sebelum digunakan untuk mengelak masalah Kesihatan. - KitaReporters

13
17
0
12
0
You will be interested