Alam & Sains 24 Dec, 2025

Bukan sekadar pulau indah! Langkawi ada cerita bumi menakjub! Cerita geologi, biologi dan warisan!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Langkawi selama ini sering dipuji kerana pantainya yang memikat dan landskap alam yang menenangkan, namun di sebalik keindahan yang sering dirakam oleh kamera pelancong itu tersimpan kisah bumi yang jauh lebih lama daripada usia manusia.


Taklimat ringkas menjadi panduan awal peserta sebelum menyelami cerita bumi di tapak geopark.

Detik awal sebelum perjalanan menyusuri cerita alam dan warisan geopark bermula.  Kredit foto: FB LADA

Pengalaman inilah yang dirasai 30 Ikon Langkawi Geopark apabila mereka menyertai Bengkel Geopark Masterclass yang mengajak peserta melihat pulau ini dari sudut yang lebih mendalam dan bermakna.

Program anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) ini membuka ruang kepada komuniti geopark untuk memahami Langkawi sebagai sebuah warisan hidup apabila elemen geologi, biologi dan budaya dirangka dalam satu cerita yang saling berkait, batuan purba, landskap semula jadi dan kehidupan masyarakat setempat bukan lagi dilihat secara berasingan, sebaliknya membentuk identiti Langkawi UNESCO Global Geopark (Langkawi Geopark Dunia UNESCO) yang unik dan bernilai tinggi.


Sesi perkongsian santai di lapangan yang mendekatkan peserta dengan cerita alam dan warisan.

Peserta meneliti batuan secara dekat sambil memahami cerita bumi di tapak geopark.  Kredit foto: FB LADA

Pendekatan geopark story (cerita taman geo atau bumi) tersebut menjadikan bengkel ini terasa santai dan dekat dengan peserta apabila penceritaan tentang bumi Langkawi tidak dibebani dengan istilah teknikal semata-mata, sebaliknya diterjemahkan dalam bahasa yang mudah difahami.

Setiap peserta didorong untuk melihat peranan mereka sebagai penyampai cerita yang mampu menghubungkan pelawat dengan alam, budaya dan sejarah melalui produk serta inisiatif masing-masing.

Penghayatan terhadap cerita bumi ini menjadi lebih nyata apabila peserta turun ke lapangan dan berhadapan sendiri dengan tapak-tapak geopark, di Langkawi Geopark Discovery Centre, di mana perjalanan bumi Langkawi dipersembah secara visual dan interaktif, membantu peserta memahami bagaimana pulau ini terbentuk sejak jutaan tahun lalu, manakala suasana tenang di Kilim Karst Geoforest Conservation Area memberi gambaran jelas tentang keharmonian alam yang perlu dijaga dan dihargai.

Apabila langkah diteruskan ke Machinchang Cambrian Conservation Area, peserta seolah-olah dibawa mengembara ke masa silam, menyedari bahawa tanah yang dipijak hari ini menyimpan rekod kehidupan awal dunia, di sinilah kefahaman tentang geopark tidak lagi bersifat teori, sebaliknya dirasai secara dekat dan berbekas di hati.


Detik santai dalam bot sebelum cerita bumi dan alam dikongsi di lapangan.

Detik santai dalam bot ketika peserta menikmati pengalaman lapangan di tengah alam semula jadi. - Kredit foto: FB LADA

Secara keseluruhan, Bengkel Geopark Masterclass ini bukan sekadar program latihan, tetapi satu perjalanan kesedaran yang menyemai rasa bangga dan tanggungjawab dalam kalangan komuniti geopark, melalui penceritaan yang santai tetapi berjiwa, Langkawi terus diangkat bukan hanya sebagai pulau yang indah dipandang, tetapi sebagai bumi yang kaya dengan cerita dan wajar diwariskan kepada generasi akan datang. - KitaReporters


Peserta aktif berkongsi pandangan dalam sesi bengkel yang menekankan kefahaman dan penghayatan nilai geopark.

Detik penutup apabila peserta merakam kenangan selepas menyelami cerita bumi dan warisan Langkawi. - Kredit foto: FB LADA
15
15
0
10
0
You will be interested