Kejayaan dan kemajuan negara dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital tidak akan memberi kebaikan sewajarnya jika produktiviti tidak seimbang, jika tiada keadilan sosial dan jika terpisah daripada nilai manusiawi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyoroti tantangan serta masa depan ilmu kemanusiaan dalam era AI dan transformasi digital.
"Transformasi digital kini menjadi teras perjalanan negara, dengan Malaysia merekodkan pelaburan besar dalam semikonduktor dan E&E.
"Saya hargai keberanian universiti awam yang pantas menyahut cabaran ini dengan menubuhkan fakulti baharu dalam bidang AI serta mempercepatkan penyelidikan dan latihan," katanya tatkala merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) 2025 di Putrajaya pada 10 September 2025.
Namun, ujarnya, beliau juga mengingatkan tentang productivity paradox (paradok produktiviti), yakni pelaburan berbilion-bilion dalam AI dan digital yang tidak diterjemah kepada produktiviti yang seimbang.
Malah, jurang digital yang melebar dan membengkak berpotensi menjejaskan cita-cita negara terhadap keadilan sosial, menyebabkan desa dan pedalaman terus ketinggalan, tambah beliau.

"Justeru itu, saya tegaskan, sehebat mana pun teknologi, ia tidak boleh terpisah daripada nilai manusiawi.
"AI hanya akan adil dan bermanfaat jika berakar pada etika, budaya, sejarah dan akhlak yang selari dengan nilai serta keyakinan kita, supaya yang lahir daripadanya mencerminkan kebenaran, bukan sekadar kepintaran tanpa jiwa," jelasnya.
Menurut Anwar, kecanggihan yang kita kejar tidak boleh menenggelamkan rasa ihsan.
"Namun inilah yang terjadi di Gaza hari ini, apabila teknologi canggih dan AI dijadikan senjata untuk mengabsahkan kezaliman, menindas tanpa belas, melanggar kewarasan akal serta melampaui batas kemanusiaan.
"Maka dalam keghairahan kita untuk ‘menggapai di langit,’ jangan sesekali dilupakan tekad untuk ‘mengakar ke bumi,’ berpaut pada nilai, budaya, sejarah, agama dan akhlak," tegasnya. - KitaReporters/Kenyataan Media
