Alam & Sains 13 Sep, 2022

Video| Musim hujan: Hati-hati dengan fenomena kepala air! 22 pusat perkelahan Terengganu berisiko!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this


KEADAAN cuaca yang tidak menentu dengan hujan ribut yang kerap berlaku di negeri Terengganu ketika ini menyebabkan kawasan pusat pelancongan dan rekreasi yang mempunyai air terjun berisiko dilanda fenomena berlakunya kepala air

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sudah mengenal pasti sebanyak 22 pusat peranginan dan perkelahan di seluruh negeri yang berisiko dilanda fenomena kepala air.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan fenomena kepala air

Air Terjun Sekayu,Hulu Terengganu


Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, antara lokasi terbabit ialah Air Terjun Lata Tembakah, Air Terjun Lata Belantan, Kolam Air Panas (La Hot Spring) dan Lata Kolam Air Deru Ecopark di Besut

Manakala, di Setiu pula, lokasi yang dikenal pasti ialah Lata Ulu Kasar, Lata Ulu Kekabu, Lata Chakah dan Lata Payung manakala di Hulu Terengganu pula Air Terjun Sekayu, Air Terjun Juwita, Air Terjun Soak, Air Terjun Lasir dan Air Terjun Belukar Bukit. 

Bagi daerah Dungun kawasan yang berisiko yang iaitu Sungai Loh, Sungai Kelemin, Air Terjun Langsir, Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Lubuk Kain. 

Sementara itu, di Kemaman pula ialah Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Puteh dan Sungai Cherul.


Air Terjun Langsir, Dungun


Air Terjun Lata Tembakah, Hulu Besut.


JBPMT menyenaraikan lokasi terbabit susulan kejadian berlakunya kepala air pada Jumaat 2 September 2022  yang menyebabkan seramai 32 individu termasuk 13 kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong, Setiu, Terengganu. 

Sehubungan itu, beliau menyeru pengunjung ke kawasan rekreasi air supaya peka terhadap empat petanda awal fenomena tersebut iaitu bunyi deruan air yang kuat, perubahan air daripada jernih kepada keruh, air menjadi berbuih serta membawa sampah dan peningkatan paras air secara mendadak.  

Md Hilman berkata, jika pengunjung dapat mengenal pasti satu daripada petanda awal itu, mereka akan sempat menyelamatkan diri sekiranya fenomena kepala air berlaku. 


Kereta yang dihanyutkan dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong, Setiu


Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, insiden pada kira-kira 5.30 petang itu menyaksikan fenomena kepala air melanda tempat orang ramai beriadah, mandi-manda dan berkhemah sehingga menyebabkan enam kereta turut terperangkap.

Katanya, kesemua mangsa yang berada di kawasan rekreasi tersebut terperangkap apabila air sungai tersebut secara tiba-tiba mengalir deras dan paras air semakin tinggi.

Selain itu, katanya, sebanyak enam buah kereta yang diletakkan di kawasan itu turut terperangkap dan dua daripada kereta tersebut iaitu jenis Perodua Aruz dan Proton Savvy dihanyutkan arus deras. - KitaReporters




Orang ramai membantu menyelamatkan kereta yang dihanyutkan dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar,Sungai Tong, Setiu

 

16
9
2
21
0
You will be interested