Johor menetapkan sasaran besar untuk meningkatkan kawasan hutannya kepada 30 peratus menjelang tahun 2030, sebagai langkah memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar.

Ling Tian Soon (tengah) melakukan gimik perasmian Majlis Meterai Memorandom Persefahaman Program 1 Juta Pokok Antara Petronas dan Kerajaan Negeri Johor di Benut, Pontian pada 24 Oktober 2025.
Usaha itu turut menjadi komitmen kerajaan negeri dalam menjamin keseimbangan ekosistem serta memastikan pembangunan negeri berlangsung secara mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, ketika ini, Johor masih memiliki lebih 440,000 ekar hutan simpan iaitu bersamaan kira-kira 23.1 peratus daripada keluasan tanah negeri Johor.
"Langkah ini adalah bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam menghidupkan kembali kawasan semula jadi yang terjejas akibat perubahan cuaca dan pembangunan.
"Antara projek berimpak tinggi yang dilaksanakan bagi tujuan tersebut melibatkan penanaman satu juta pokok bakau dalam tempoh empat tahun bagi memulihkan semula sistem semula jadi di kawasan pantai Johor," katanya pada Majlis Meterai Memorandom Persefahaman Program 1 Juta Pokok Antara Petronas dan Kerajaan Negeri Johor di Benut, Pontian pada 24 Oktober 2025.

Wakil kerajaan Johor dan Petronas bertukar dokumen memorandom persefahaman program 1 Juta Pokok.
Katanya, kerajaan negeri Johor berbesar hati dengan penglibatan syarikat minyak nasional, Petronas yang turut tampil menyokong inisiatif hijau itu melalui tajaan Projek Penanaman Semula Hutan Bakau Hutan Santi di Benut, Pontian,
Menurutnya, sasaran tersebut diumumkan bersempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor yang diraikan bagi memperkukuh agenda hijau negeri.
Dalam program berkenaan, seluas tujuh ekar kawasan paya bakau yang kering telah ditanam semula dengan benih bakau bagi memulihkan fungsi ekosistem pesisir pantai.
Selain memulihkan habitat semula jadi, projek itu turut berperanan melindungi pesisir pantai daripada hakisan serta menyediakan kawasan perlindungan hidupan marin.

Ling Tian Soon menabur benih pokok semasa hadir merasmikan Meterai Memorandom Persefahaman Program 1 Juta Pokok Antara Petronas dan Kerajaan Negeri Johor.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memperuntuk RM3 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) tahun ini bagi melaksanakan 14 projek pemuliharaan hutan di seluruh negeri.
Antara projek utama yang dirancang termasuk penanaman semula hutan, pembinaan pagar kawalan, laluan pejalan kaki serta aktiviti penguatkuasaan di kawasan sensitif.
Langkah ini memperlihat komitmen kerajaan negeri terhadap pemuliharaan hutan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi Johor.
"Dalam usaha membanggunkan negeri ini kerajaan negeri sentiasa mengambil kira mengenai kelestarian alam kerana kita tidak mahu pembangunan mengorbankan alam semula jadi yang sepatutnya diwariskan kepada generasi akan datang.
“Pembangunan dan alam mesti bergerak seiring, kita mahu kemajuan Johor tidak mengorbankan kelestarian hijau negeri,” katanya.

Ling Tian Soon menanam pokok sebagai simbolik terhadap usaha kerajaan johor memulihara alam dan hutan.
Menurutnya, usaha pemuliharaan hutan memerlukan penglibatan menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat korporat dan komuniti setempat.
Dengan pendekatan kolaboratif dan pelaksanaan berterusan, Johor yakin sasaran 30 peratus kawasan hutan dapat dicapai menjelang 2030.
Langkah ini bakal menjadikan Johor antara negeri peneraju dalam pelaksanaan dasar hijau serta pengurusan hutan mampan di Malaysia, memastikan warisan alamnya kekal subur untuk generasi akan datang. - KitaReporters
