Alam & Sains 02 Aug, 2020

Malay Town buka peluang! Usahanita IKS melebarkan pasaran!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

MALAY Town Jalan Pekeliling Kuala Lumpur bakal menerima transformasi terkini apabila 55 usahanita penjaja dan ibu tunggal dari Sepang, Selangor menunjukkan minat untuk membuka perniagaan di lot kedai di situ.

Dalam lawatan ke tapak perniagaan itu baru-baru ini, mereka menzahirkan hasrat untuk menyewa kira-kira 30 lot kedai bagi memasarkan pelbagai barangan kering hasil industri kecil dan sederhana (IKS) yang mereka ceburi selama ini. : KitaReporters

Sazelan Abdul Wahab Arbi Bashah (kiri) memberi penerangan kepada usahawanita penjaja dan ibu tunggal dari Sepang yang melawat Malay Town Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur baru-baru ini. - Kredit photo Ben Hassari


Lagi cerita-cerita mengenai Malay Town:

https://kitareporters.com/search?search=malay+town


Pengarah Jabatan Penyewaan Malay Town, Dato’ Sazelan Abdul Wahab Arbi Bashah, berkata sehubungan dengan itu Malay Town membuka peluang kepada usahawanita terbabit melebarkan perniagaan mereka dengan lebih berkesan.

Menurutnya, usaha itu secara tidak langsung akan membantu mengembalikan perkembangan dan kebangkitan usahawan Bumiputera dalam ekonomi kerana mempunyai platform yang terbaik untuk mereka memasarkan produk.

Pengarah Urusan Malay Town, Dato' Paduka Seri Hasnizal Hassan (dua dari kiri) terus gigih memberi taklimat dan info terkini mengenai Malay Town kepada pelawat yang mencari peluang perniagaan di situ.


“Ini juga membuka peluang kepada mereka yang baru menceburi bidang perniagaan untuk mempraktikkan selok-belok berniaga apabila berdepan pelbagai bangsa yang mengunjungi Malay Town.

“Dalam kunjungan mereka itu, saya menerangkan semua pembangunan dan program yang akan dilakukan oleh pihak pengurusan dalam membantu peniaga di Malay Town bersesuaian dengan matlamat membangun dan mengembalikan ekonomi ummah sejagat,” katanya.

Azrina yakin dengan strategi pemasaran yang dilaksanakan dapat membantu meningkatkan perniagaan di Malay Town.


Sementara itu beberapa peniaga kedai makanan yang ditemui melahirkan keyakinan Malay Town akan menjadi destinasi popular khusus kepada masyarakat kota Bandar Raya Kuala Lumpur untuk membeli-belah seperti pasar malam di tempat lain.

Pemilik Kedai D’Mcik D’Mok, Azrina Abdul Latiff, percaya dengan strategi pemasaran yang dilakukan oleh pihak pengurusan Malay Town, tapak perniagaan yang kian berkembang itu sudah pasti akan menjadi tumpuan termasuk mereka yang datang bercuti di Kuala Lumpur.

Beliau yang membuka kedai menjual masakan panas seperti gulai dan pais tempoyak ikan patin, sup berempah serta pelbagai masakan kampung, berkata selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) jumlah pengunjung semakin meningkat.

Hasnizal (kanan) sentiasa turun padang bagi mengikuti perkembangan perniagaan di Malay Town.


Bagi Hayatul Alwizah Zulkarnain yang membuka kedai Dapur Arang menjual pelbagai jenis sate, berkata Malay Town membuka peluang kepada dia melebarkan perniagaan secara online di samping kedainya menjadi tumpuan pengunjung untuk menjamu selera.

“Saya berharap jumlah pengunjung akan semakin meningkat dan pelbagai kedai yang menjual pelbagai barangan akan dibuka apabila melihat ramai ahli persatuan peniaga datang melawat tapak ini bagi mendapatkan penerangan daripada pihak pengurusan,” katanya.

Hayatul sedang menunggu pelanggan di kedai Dapur Arangnya yang menjual sate.


Adil Zulkifli pula yang membuka kedai Hot Dude menjual Takoyaki sotong, udang, ketam dan sosej memuji suasana perniagaan di Malay Town yang semakin baik selepas diambi alih pengurusan baharu khusus bagi membantu peniaga di situ.

“Komitmen yang ditunjukkan mereka (pihak pengurusan) itu, saya yakin Malay Town akan menjadi pilihan ramai masyarakat di Kuala Lumpur termasuk pelancong asing untuk datang menjamu selera dan membeli-belah,” katanya.

Adil sedang menyiapkan Takoyaki yang ditempah pelanggan.


Untuk maklumat lanjut berkaitan tempahan lot perniagaan orang ramai boleh menghubungi Sazelan Abdul Wahab Arbi Bashah (011-2803 9898) atau Ismail Khamis (012-263 8646). - KitaReporters

8
0
0
0
0
You will be interested