KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap rantaian bekalan barangan berikutan penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur bermula hari ini, 9 Mei hingga 16 Mei 2021.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya akan menilai situasi bagi memastikan bekalan barangan mencukup selain harga barang juga tidak terjejas menjelang sambutan Aidilfitri.
“KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga persatuan-persatuan peniaga yang terlibat dalam isu ini.
“Walaupun
insiden ini bukan kali pertama berlaku, situasi ini perlu ditangani dengan baik
supaya ia tidak dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang-barang tertentu,”
katanya dalam kenyataan di Putrajaya pada Ahad, 9 Mei 2021.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan menutup operasi bahagian ikan di pasar borong itu berikutan ada beberapa kes Covid-19 membabitkan operator dan pekerja di pasar berkenaan.
Beliau turut menyeru pengguna agar terus menjadi mata dan telinga KPDNHEP serta menyalurkan maklumat berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian itu secara rasmi.
Aduan boleh disalurkan menerusi portal e-aduan
KPDNHEP; Call Centre 1-800-886-800; e-mel kepada [email protected]; Ez ADU
KPDNHEP; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau WhatsApp
kepada 019-279 4317. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter