KETIKA dunia berada dalam situasi pandemik, setiap kerajaan harus mempelbagaikan sumber dan aktiviti ekonomi di dalam negara khususnya. Sekiranya sedikit alpa atau tersalah langkah, sesebuah negara itu tidak mustahil akan jatuh muflis dengan sekelip mata. Antara sumber pendapatan negara yang perlu dipertimbang ialah mengaktifkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST). : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan ekonomi:
https://kitareporters.com/search?search=ekonomi
Bagi negara kita, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) antara pihak yang bertanggungjawab memperluas dan mempelbagaikan sumber cukai demi kepentingan jangka masa sederhana dan jangka panjang.
Untuk tujuan tersebut, ada pakar ekonomi yang mencadangkan pemerintah untuk mengaktifkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) melalui pembentangan Bajet 2021 pada 6 November 2020 depan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagaimanapun menafikan sistem cukai berkenaan bakal diperkenalkan semula dalam masa terdekat.
Namun, selaku bekas pemimpin sektor perbankan, Tengku Zafrul tidak menolak kemungkinan cukai itu diperkenalkan pada beberapa tahun akan datang pada masa yang sesuai.
Katanya kepada Nanyang Siang Pau, sistem cukai baharu termasuk GST yang lebih efektif tidak harus ditolak sepenuhnya.
“Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada mempunyai kelemahan tertentu yang menyebabkan kerajaan kehilangan antara RM20 bilion hingga RM30 bilion hasil cukai.
“Kami perlu kaji (pengaktifan GST) terlebih dahulu kerana negara memerlukan satu sistem cukai yang lebih efektif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi,” kata Tengku Zafrul dalam wawancara bersama Nanyang Siang Pau.
Sekiranya GST akan kembali diperkenalkan, ada yang bertanya mengenai kemungkinan kadar GST dikekalkan pada enam peratus seperti sebelum ini, beliau menjawab, perkara itu masih memerlukan penelitian dan analisis terlebih dahulu.
Kerajaan sebelum ini telah membatalkan GST dan menggantikannya dengan SST.
Kerajaan ketika ini pula mengekalkan pelaksanaan SST, walaupun semakin ramai pertubuhan perniagaan dan perindustrian serta pakar ekonomi yang menyaran GST diaktifkan semula. - KitaReporters