
Kredit foto: TcherCollection.com
SUKAR untuk kita bayangkan trend atau sesuatu perkara yang tular dan menjadi ikutan akan menjadi sebuah metod dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk para pelajar sekolah.
Trend generasi muda ketika ini yang gemar menggunakan aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram, dan YouTube untuk berinteraksi dan berkongsi bakat kendiri telah memberi ilham kepada guru-guru menggunakan pendekatan itu untuk PdP Di Rumah (PdPR).
Lagi cerita-cerita berkaitan PdPR:
https://kitareporters.com/search?search=PdPR

Tindakan kreatif sebahagian guru ini bagi mengelak para pelajar merasa cepat jemu dan 'lari' dari sesi PdPR yang lazimnya diadakan menerusi aplikasi seperti Telegram Google Meet dan Zoom Meeting.
Menurut cerita, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis, Norlida Muhd Pisol, 37, telah menggunakan TikTok sebagai cara untuk mengajar mata pelajaran Sejarah dengan lebih menarik.
"Ramai dalam kalangan pelajar saya gemar menggunakan aplikasi TikTok dan dari situ saya mendapat idea untuk menggunakan aplikasi ini sebagai antara medium untuk mengajar, pendek kata, kita perlu didik golongan remaja dengan cara yang mereka suka,” katanya kepada media baru-baru ini.

Kredit foto: Bernama
Beliau yang telah bergelar pendidik selama 15 tahun turut berasa kaedah PdP sedemikian cukup mudah, menyeronokkan, malah pelajar turut teruja memberikan cadangan pemilihan lagu untuk menjadikan sesi PdPR itu lebih menarik.
Ternyata beliau bukan sekadar 'syook sendiri', sebaliknya maklum balas yang diterima daripada pelajar menyatakan bahawa aplikasi itu lebih mudah dan jimat digunakan kerana mereka tidak perlu data internet yang besar berbanding aplikasi lain.
Jiwa pendidik yang ikhlas terbukti tersemat di dalam jiwa beliau apabila Norlida sanggup membelanjakan kira-kira RM2,000 duit poket sendiri untuk membeli alat peranti, peralatan studio dan menghias tiga studio mini di rumahnya agar pelajar tidak jemu menonton video TikToknya.
"Saya buat semua ini hanya dengan satu niat iaitu agar pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran kerana bagi saya mata pelajaran Sejarah perlu dipelajari setiap hari… sehari sahaja tidak belajar, mereka boleh lupa,” katanya lagi.
Atas inisiatif kreatif itu, kaedah ini bukan sahaja menarik minat para pelajar kelasnya, malah beberapa pelajar dari sekolah lain turut berminat dengan cara pembelajaran itu, sehingga mereka memuat turun dan menyimpan video PdPR milik Norlida.

Kredit foto: FB Haliza Aziz
Seorang lagi guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di Alor Setar, Kedah, Emily Syafirah Zamrod, 44, turut mengambil inisiatif untuk mewujudkan saluran YouTube bernama "English Made Possible with Teacher Em” untuk menjadikan PdPR lebih memberangsangkan serta tidak membosankan.
"PdPR menggunakan aplikasi seperti ‘Google Classroom’ masih dilakukan untuk interaksi secara langsung dengan murid, namun kadang-kadang guru tidak ada kawalan ke atas murid dan mereka boleh meninggalkan sesi pada bila-bila masa apabila mereka bosan.
"Bagi menarik minat murid-murid, saya mengambil inisiatif mewujudkan saluran YouTube dengan menghasilkan video berkaitan subjek Bahasa Inggeris termasuk memasukkan unsur sketsa di dalamnya,” katanya.
Menurutnya kaedah ini cukup berkesan kerana beliau dapat merakam video berkaitan agar boleh ditonton oleh pelajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada ketika mempunyai capaian internet.
Sebagai bukti kaedah kreatif beliau ini diterima banyak pihak, sehingga kini saluran YouTubenya telah mempunyai lebih 2,200 pelanggan dengan 72,000 tontonan.
Antara yang kerap menonton dan berkongsi video-videonya itu ialah pelajar dan guru-guru dari sekolah beliau dan sekolah lain.
Cara baharu ini ternyata terbukti berkesan apabila terdapat beberapa pelajar yang menyatakan telah mampu menulis ringkasan dalam Bahasa Inggeris dengan baik selain mampu menjawab semua soalan dalam peperiksaan selepas menonton videonya di YouTube.

Kredit foto: GPSBestari
Semoga pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tambahan inisiatif berupa tablet, gajet, plan internet atau mungkin elaun khas kepada para guru sebagai motivasi mencari solusi PdPR yang lebih kreatif, diminati pelajar dan mencapai matlamat Falsafah Pendidikan.
Para ibu bapa dan netizen di media sosial juga sudah perlu menukar cara berfikir dalam kita mendidik anak bangsa di zaman pandemik COVID-19 ini. - KitaReporters