Alam & Sains 23 Dec, 2023

Syabas Pusat KitaRecycle Taman Botanikal Melaka! Hampir 20 tan barangan kitar semula sejak beroperasi!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (PPLK) seliaan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) yang pertama di Melaka di Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh, Melaka mencatatkan 19,782 kilogram (19.78 tan) barangan kitar semula yang dihantar ke pusat berkenaan sejak ia mula beroperasi sehingga 11 Disember 2023 yang lalu.

Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, sejak PPLK Taman Botanikal Melaka beroperasi secara rasmi pada 30 Mei 2023, kemudahan ini dilihat mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai dalam menghantar pelbagai barangan kitar semula sejak ia dibuka.

“Daripada lebih 25 jenis barangan kitar semula yang diterima, barangan kertas adalah antara yang terbanyak dihantar iaitu 8,728.5 kilogram (kg), diikuti barangan plastik (2,686.50 kilogram), besi (2,638 kg), botol kaca (2,181 kg), barangan elektronik terpakai (795 kg) serta barangan lain (2,753 kg).

"Jumlah Mata Ganjaran (RP) KitaRecycle yang terkumpul daripada keahlian di negeri Melaka sejak program KitaRecycle diperkenal kini mencecah 1,016,765 mata bernilai RM50,838.25 setakat 30 November 2023," katanya.



Norlisam berkata demikian pada Program Sembang Santai SWM Environment Bersama Media di Pusat Pandu Lalu KITARecycle Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh, Melaka pada 18 Disember 2023.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan SWM Environment sebagai penganjur bersama Program MAFA Century 100th Years Clean Eco Fun Run & Fun Ride anjuran Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA).

Program bersempena 100 tahun penubuhan MAFA itu akan diadakan pada Sabtu, 30 Disember 2023 bertempat di Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh.

Dua acara dibuka kepada orang ramai iaitu larian santai Fun Run sejauh 5 kilometer dan berbasikal, Fun Ride sejauh 20 kilometer.

Orang ramai khususnya warga negeri Melaka dijemput menyertai program ini dengan mendaftarkan diri secara atas talian. 

Hadiah cabutan bertuah utama (Grand Prize) menanti peserta yang membawa lebih dua (2) kilogram barangan kitar semula pada sesi pengambilan kit program.

Maklumat lanjut sila layari laman Facebook Melaka United Soccer Association atau SWM Environment. - KitaReporters/Kenyataan Media


17
19
0
14
0
You will be interested