Pemain sayap antarabangsa England, Jadon Sancho menerima durian runtuh selepas ditawarkan kontrak baharu berjumlah 190,000 pound (RM965, 251) seminggu untuk kekal di Borussia Dortmund.
Menurut laporan Daily Mail, tawaran baharu berjumlah 10 juta pound setahun itu tiba selepas pemain berusia 19 tahun menolak minat dari Manchester United dan Paris Saint-Germain baru-baru ini.
Dengan kontrak baharu ini pastinya akan membuat kelab yang berminat mendapatkannya musim depan berbelanja besar untuk mendapatkan Sancho.
Minggu lalu, Sancho dinamakan di tempat kelima pemain paling berharga di dunia pada harga 145 juta pound (RM736.63 juta) seperti yang dilaporkan portal penganalisis data bola sepak, CIES Football Observatory.
Sancho menjaringkan 13 gol dan 15 bantuan jaringan untuk Dortmund musim lalu, membantunya meraih tempat dalam skuad kebangsaan England.
Pemain sayap itu meninggalkan Manchester City pada Ogos 2017 bagi melebarkan karier bola sepaknya bersama Dortmund,
Namun, bekas majikannya itu bersama Manchester United dilaporkan antara kelab gergasi Eropah yang sedang memburu Sancho.