DI SEBALIK kejayaan meraih pingat emas acara pecut Asia semalam (21/10/2019), jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang mendedahkan dirinya terpaksa menempuh kesengsaraan sebelum meraih kejuaraan menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto.
Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman berkata, selepas kalah tipis pada pusingan pertama, dia kehabisan tenaga dan kepenatan.
Katanya, disebabkan badan yang penuh dengan asid laktik hasil dari kerahan pecutan sebelum itu, dia terus ke tandas dan muntah.
Nasib Azizulhasni baik apabila seorang lagi pelumba trek negara, Shah Firdaus Sahrom yang kebetulan berada di dalam tandas turut membantunya.
"Saya cuba mengawal pernafasan dan buat segala cara untuk pulih seperti biasa. Pertarungan kali ini adalah untuk merebut takhta juara Asia peribadi saya buat kali ke-10.
"Satu pencapaian yang belum pernah dicapai pelumba lain dan paling penting itu adalah impian dan misi peribadi saya.
"Saya bercakap dengan diri sendiri, memberitahu otak supaya jangan mengalah dan jangan biarkan musuh anda merampas impian tersebut," katanya menerusi catatan di akaun Facebooknya hari ini (22/10/2019).
Mengulas lanjut, Azizulhasni berkata, pada perlumbaan kedua, Wakimoto mengajaknya berlumba pada kelajuan yang tinggi sehingga memaksanya menunggu sehingga selekoh terakhir sebelum memotong pelumba tersebut.
"Selepas mengerahkan segala kudrat yang ada, saya memenangi perlumbaan dan kami akan ke pusingan penentuan. Catatan masa perlumbaan sengit itu adalah 9.824 saat. Kalau anda bukan pelumba, reaksinya adalah okey.
"Tetapi reaksi bagi pelumba adalah seperti cerita ‘The Mask’ kalau anda masih ingat di mana kedua biji mata terkeluar, mulut terbuka luas, ‘jaw dropping’ dan lidah terkeluar habis, laju tu.
"Dalam dunia pecut-memecut (basikal trek), kalau catatan masa di bawah 10 saat memang orang gila punya kerja. Memang saya gila pun tetapi saya gila waktu berlumba," ujarnya.