SYARIKAT telekomunikasi berpusatkan data, U Mobile dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan, Impact Malaysia mengambil inisiatif memperkenalkan seni mural berskala besar di gelanggang bola keranjang, bola tampar dan sepak takraw di Spacerubix Puchong, Selangor.
Syed Saddiq (tengah) diapit Ahmed Faris (dua dari kiri) dan Wong Heang Tuck (tiga dari kanan) pada majlis perasmian kempen 'Unlimited Moves' di Spacerubix, Puchong, Selangor baru-baru ini.
Langkah yang mendapat pujian serta perasmian oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu, sekali gus membuka tirai kempen ‘Unlimited Moves’ yang memaparkan gandingan kerjasama antara U Mobile dan Impact Malaysia.
“Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan pembangunan bakat sukan belia tetapi juga memupuk pemikiran ke arah pembangunan komuniti.
"Saya gembira Unlimited Moves bukanlah projek “one-off” atau projek yang akan berlaku sekali sahaja, tetapi akan dijalankan juga di beberapa pusat komuniti belia lain yang terpilih di seluruh Malaysia,” ujar Syed Saddiq dalam ucapan perasmiannya di Spacerubix Puchong, Selangor baru-baru ini.
Berpandangan positif terhadap kerjasama tersebut, Menteri Belia dan Sukan ini menyeru agar badan-badan korporat lain mencontohi langkah sedemikian sebagai sumbangan mereka ke arah pembangunan belia.
Menerusi kempen 'Unlimited Moves' tersebut, U Mobile akan memberikan sentuhan kesenian kepada ruangan yang berasaskan komuniti belia di seluruh Malaysia.
Seni mural berskala besar di gelanggang sukan Spacerrubix, Puchong.
Selain menyuntik seni jalanan ke dalam gelanggang-gelanggang di Spacerubix, U Mobile juga akan terus menerus membekalkan keperluan kesinambungannya selari dengan usaha keseluruhannya untuk mempertingkatkan pengalaman pembangunan komuniti belia.
Malah, U Mobile juga akan memberikan fokus kepada penyediaan akses serta sokongan kepada golongan belia bagi merealisasikan potensi sebenar mereka sama ada dalam sukan mahupun usaha pembangunan komuniti.
"Kami sangat teruja kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan Impact Malaysia dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan dalam kempen ini.” ujar Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck.
Beliau berharap seni jalanan di gelanggang-gelanggang Spacerubix akan menginspirasikan lebih banyak usaha pembangunan komuniti belia untuk pelbagai tujuan termasuk pasar hujung minggu dan konsert muzik sekali pun.
"Sebagai sebuah syarikat Malaysia, kami berbesar hati kerana berpeluang melaksanakan tanggungjawab kami untuk menyokong bakat dan komuniti belia di tanah air,” tambah Wong.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Impact Malaysia, Ahmed Faris Amir melahirkan pujian serta keterujaannya mengenai minat U Mobile dalam pembangunan komuniti belia menerusi projek Unlimited Moves.
“Impact Malaysia berharap agar lebih ramai belia menggunakan gelanggang sukan yang telah diberikan nafas baharu ini, untuk aktiviti sukan, berkongsi idea dan impian mereka,” jelas Ahmed Faris.
Gimik pelancaran oleh Syed Saddiq bersama Wong Heang Tuck dan Ahmed Faris Amir (kanan) di gelanggang bola keranjang Spacerubix, Puchong.
Gimik majlis perasmian seni mural berskala besar pada gelanggang di Spacerubix berkenaan menyaksikan Syed Saddiq, Heang Tuck dan Ahmed Faris bersama molantar bola keranjang sebagai tanda sokongan mereka kepada penglibatan golongan belia dalam sukan serta pembangunan komuniti.
Semoga golongan belia yang menggunakan gelanggang tersebut dapat memelihara kebersihan dan wajah baharu yang telah diterapkan dan menjaganya daripada perbuatan vandalisme.