Malaysia menegaskan bahawa serangan terhadap Iran, sebuah negara berdaulat, jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
"Tindakan ini adalah pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan negara dan prinsip tantanan dunia," tegas beliau lagi semasa berucap di Dewan Rakyat semasa Sesi tPertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pada 2 Mac 2026.
Pada 28 Februari 2026, Amerika Syarikat dan sekutu terpentingnya, Israel melancarkan serangan ke Iran dengan mengebom beberapa sasaran penting menggunakan pesawat pejuang dan peluru berpandu.
Serangan tersebut dilaporkan telah mengakibatkan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa ahli keluarganya terbunuh.


Sehubungan itu, Anwar berkata, Malaysia merakamkan takziah kepada Republik Islam Iran atas kehilangan nyawa pimpinan tertinggi negara itu serta rakyat yang tidak berdosa akibat serangan keji pakatan rejim Israel dan Amerika Syarikat.
"Malaysia menyeru gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan segera dan semua pihak kembali ke meja rundingan.
"Prinsip kedaulatan negara dan aturan antarabangsa mesti dihormati dan dipertahankan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, ketika ini, keutamaan Kerajaan Madani adalah memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Iran serta negara-negara Asia Barat yang terkesan.
Wisma Putra dan kedutaan, katanya, memantau rapat perkembangan serta menyediakan bantuan konsular dan nasihat perjalanan sewajarnya.
"Pada masa sama, Malaysia meneruskan komitmen kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui misi bantuan Sumud Darat.
"Malaysia kekal konsisten menentang pencerobohan dan menyokong usaha damai demi kestabilan serantau," tambah Perdana Menteri.
Terdahulu, semasa berucap kepada pemimpin-pemimpin mahasiswa pada Majlis Berbuka Puasa Bersama PM pada 1 Mac 2026, Anwar menjelaskan gencatan senjata yang segera dan tanpa syarat adalah keperluan mendesak susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran yang kini mengheret Asia Barat ke ambang malapetaka.
"Malaysia dengan tegas menggesa Israel, Amerika Syarikat dan Iran agar menghentikan segala tindakan provokatif dan kembali kepada meja rundingan diplomasi dan dialog.
"Sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung," katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media
