Lekir Australia Deployment (Penugasan Lekir Australia) 2026 atau LEAD ‘26 bakal menyaksikan penyertaan KD Lekir dalam eksesais ketenteran laut multilateral, aktiviti diplomasi pertahanan serta pelayaran jarak jauh peringkat antarabangsa.
Penugasan
selama lebih 2 bulan ini, melibatkan seramai 150 orang pegawai dan anggota
serta tim sokongan yang diketuai Pegawai Memerintah KD Lekir, Komander Megat
Mohamad Sofwan Firdaus Megat Mohamad Yunus .
TLDM telah
melaksanakan Majlis Pelepasan Tali KD Lekir bagi memulakan LEAD ’26 di Lumut
pada 26 Februari 2026.
Sebelum memulakan pelayaran, seluruh warga kapal telah melalui persiapan rapi merangkumi aspek kesiapsiagaan operasi, latihan taktikal, penyelenggaraan teknikal serta pengurusan logistik bagi memastikan kapal berada dalam keadaan optimum untuk melaksanakan pelayaran merentasi perairan serantau dan antarabangsa.
Menurut
kenyataan media Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM di Lumut, Perak, penglibatan pertama KD Lekir adalah International Fleet Review (IFR)
sempena ulang tahun ke-125 penubuhan Tentera Laut Diraja Australia yang akan
berlangsung di Sydney pada 21 Mac 2026.
Acara berskala besar ini bakal menghimpunkan 35 buah kapal daripada 20 buah negara dan menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan diplomasi pertahanan antara negara-negara yang terlibat.
Kenyataan itu menyebut, penyertaan TLDM dalam IFR 125 mencerminkan komitmen Malaysia sebagai rakan maritim yang aktif, berwibawa dan dipercayai pada peringkat global.
Seterusnya,. KD Lekir akan menyertai Eksesais KAKADU '26 yang melibatkan 21 buah kapal dan sebuah kapal selam daripada 14 buah negara, yang akan berlangsung dari 22 hingga 30 Mac 2026.
Eksesais ini
merupakan latihan dwitahunan anjuran Tentera Laut Diraja Australia yang memberi
penekanan kepada pengukuhan interoperabiliti, perkongsian kepakaran serta
pengukuhan kerjasama dalam memastikan keselamatan dan kestabilan maritim
serantau.
Kata kenyataan
itu, selesai penglibatan di Sydney, KD Lekir akan meneruskan pelayaran Circumnavigation
of the Australian Continent, iaitu pelayaran mengelilingi benua Australia.
“Pelayaran
ini dijangka menguji ketahanan fizikal dan mental warga kapal, di samping memberi
peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman dan ilmu pelayaran dalam pelbagai
keadaan persekitaran maritim seperti Great Barrier Reef serta Great Australian Bight.
“Kali terakhir pelayaran merentasi benua Australia dilaksanakan oleh TLDM adalah menerusi penglibatan KD Mahawangsa dan KD Lekir pada tahun 1991,” katanya.
Menurut
kenyataan itu, pada penghujung pelayaran di benua Australia, KD Lekir akan
menyertai Malaysia–Australia Exercise (MASTEX) '26 di Perth dari 14 hingga 20
April 2026.
“Eksesais ini merupakan kesinambungan latihan dua hala antara Malaysia dan Australia yang telah dimulakan sejak tahun 2002.
"Edisi kali ini menzahirkan pengukuhan semula hubungan profesional antara kedua-dua negara selepas beberapa kekangan dari segi jadual dan ketersediaan aset pada tahun-tahun sebelumnya.
“MASTEX '26 memberi tumpuan kepada peningkatan interoperabiliti, perkongsian kepakaran taktikal serta pengukuhan koordinasi operasi antara TLDM dan Tentera Laut Diraja Australia, sekali gus memperkukuh hubungan pertahanan dua hala yang strategik dan berterusan,” katanya.
Sebelum mengakhiri LEAD ‘26, KD LEKIR akan melaksanakan lawatan pelabuhan ke Jakarta, Indonesia dari 26 hingga 29 April 2026. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala dan diplomasi pertahanan serantau.
Kenyataan
itu menyebut, dalam perjalanan menuju ke Jakarta, KD Lekir akan melaksanakan
satu acara peringatan khas ketika melalui perairan Barat Laut Australia bagi
memperingati tragedi MH370 yang melibatkan 293 mangsa. “Walaupun kapal ini
tidak terlibat secara langsung dalam operasi mencari dan menyelamat pada tahun
2014, acara ini bertujuan menzahirkan rasa empati dan solidariti terhadap
mangsa serta mengenang jasa kapal-kapal TLDM yang terlibat dalam misi pencarian
pesawat tersebut,” kata kenyataan itu.
Secara keseluruhannya,
LEAD ‘26 mampu mengekalkan imej serta kredibiliti TLDM di pentas antarabangsa,
di samping meningkatkan keyakinan komuniti maritim terhadap kemampuan, profesionalisme
dan komitmen TLDM dalam melaksanakan amanah kepada negara. - KitaReporters