Islamic Relief (IR) Worldwide amat bimbang terhadap konflik ketenteraan yang semakin memuncak di seluruh Timur Tengah dan menggesa semua pihak yang terlibat supaya segera mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan serta mencari penyelesaian melalui saluran diplomatik.

Kredit foto: CNBC Indonesia
Orang awam sentiasa menjadi pihak yang paling terjejas dalam setiap konflik ketenteraan dan perlindungan terhadap mereka mesti menjadi keutamaan.
Ketegangan ini berlaku ketika umat Islam sedang menyambut Ramadan, bulan yang penuh dengan nilai kasih sayang dan belas ihsan.
Mereka yang berada di seluruh Timur Tengah berhak menyambut bulan suci ini dalam keadaan aman dan tanpa rasa takut.
Sebagai sebuah badan kebajikan dan kemanusiaan Islam yang bebas dan terbesar di dunia, Islamic Relief sedang memantau dengan rapi perkembangan situasi di seluruh rantau ini, termasuk di negara-negara di mana Islamic Relief menyalurkan bantuan menyelamatkan nyawa seperti Yaman (Yemen), Lubnan (Lebanon), Iraq, Turkiye, Jordan, Syria dan Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).
Kami amat bimbang sekiranya ketidakstabilan serantau yang lebih meluas boleh menjejaskan dan menyebabkan jutaan orang awam di seluruh Teluk dan kawasan sekitarnya kehilangan tempat tinggal.

Kredit foto: Astro Awani
Islamic Relief telah lama berkhidmat kepada sebahagian golongan paling rentan di rantau ini, dan kami amat menyedari betapa cepatnya operasi kemanusiaan boleh terganggu apabila konflik merebak.
Ketegangan yang semakin meningkat berisiko memutuskan akses komuniti yang bergantung kepada bantuan Islamic Relief seperti makanan, tempat perlindungan, air bersih, dan penjagaan kesihatan.
Islamic Relief menyeru semua pihak agar mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, melindungi nyawa orang awam, dan memastikan organisasi kemanusiaan dapat terus beroperasi dengan selamat.
Penderitaan orang awam, yang sebahagian besar telah lama hidup dalam kesusahan bertahun-tahun, tidak sepatutnya diperburuk oleh tindakan ketenteraan.

Kredit foto: Universitas Airlangga
Konflik ketenteraan yang berterusan berpotensi mencetuskan perpindahan besar-besaran orang awam serta mewujudkan gelombang pelarian di seluruh rantau ini.
Islamic Relief bersedia untuk memperluas bantuan sekiranya terdapat keperluan kemanusiaan di lapangan. - KitaReporters/Kenyataan Media

Kredit foto: Utusan Malaysia