.

SEJAK konflik Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober 2023, jumlah wartawan yang dibunuh di Gaza meningkat dengan ketara, menjadikannya salah satu tahun paling banyak mengorbankan pengamal media dalam sejarah konflik ini.
Terbaharu, seorang wartawan Palestin terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza awal pagi Isnin (5 Mei 2025), menjadikan jumlah wartawan yang terbunuh sejak Oktober 2023 meningkat kepada 210 orang.
Pejabat Media Kerajaan Gaza mengenal pasti wartawan yang terbunuh sebagai Helmi Al-Faqawi, seorang wartawan agensi berita Palestine Today.
Dia maut dalam serangan ke atas khemah wartawan berhampiran Hospital Nasser di bandar Khan Younis, selatan Gaza.

Pengamal media Palestin merupakan sebahagian besar mangsa, termasuk wartawan wanita dan jurugambar. - Kredit foto: REUTERS
Dalam serangan sama, seorang orang awam turut terkorban manakala sembilan wartawan lain cedera.
Wartawan tempatan merupakan sebahagian besar daripada mangsa, termasuk wartawan wanita dan jurugambar. Sebanyak 24 wartawan wanita dilaporkan terbunuh dalam perang itu.
Wartawan asing turut menjadi sasaran, contohnya, pada 13 Oktober 2023, seorang jurukamera Reuters terbunuh dalam serangan udara Israel berhampiran sempadan Israel-Lubnan.

Serangan Israel ke atas khemah wartawan berhampiran Hospital Nasser di bandar Khan Younis, selatan Gaza membunuh Helmi Al-Faqawi, seorang wartawan agensi berita Palestine Today. - Kredit foto REUTERS
Organisasi seperti Committee to Protect Journalists (CPJ) dan Reporters Without Borders (RSF) menyuarakan kebimbangan mengenai serangan terhadap wartawan dan menyeru agar Israel disiasat atas tuduhan jenayah perang.
RSF juga melaporkan bahawa 48 kemudahan media di Gaza telah rosak atau musnah akibat serangan udara Israel.
Wartawan di Gaza menghadapi pelbagai risiko, termasuk serangan udara, tembakan, dan serangan dron. Pakaian bertanda "Press" (Akhbar/Media) kini tidak lagi memberikan perlindungan, malah sering kali menjadi sasaran.
Laporan menyatakan bahawa dron dengan keupayaan tepat digunakan untuk menyerang wartawan.
Justeru, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) meluahkan kemarahan dan kecaman paling keras terhadap pembunuhan kejam dan sistematik wartawan Palestin oleh rejim aparteid Israel.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid amat terkejut dan kecewa dengan jumlah yang amat besar wartawan syahid, termasuk terbaharu, Nour Al-Din Matar Abdo, seorang penyiar dan penyunting berita yang terbunuh di kejiranan Al-Tuffah, timur Bandar Gaza.
"Ini bukan "kerosakan sampingan" sebaliknya ia adalah pemusnahan terancang terhadap suara kebenaran. Kepada wartawan, pengamal media dan kesatuan akhbar Malaysia: inilah saatnya untuk bangkit!," katanya.
"Kamu bukan sekadar pemerhati peristiwa dunia tapi anda adalah benteng utama pembela kebenaran. Diam dan tidak bertindak ketika berlaku pembunuhan beramai-ramai adalah satu bentuk komplikasi dan pengkhianatan terhadap etika kewartawanan," katanya.

Penduduk Palestin melakukan solat jenayah ke atas kematian Helmi Al-Faqawi, seorang wartawan agensi berita Palestine Today. - Kredit foto REUTERS
Beliau berkata, pembunuhan wartawan secara sengaja adalah jenayah perang, serangan terus terhadap kebebasan media, dan percubaan terancang untuk membungkam suara yang membela yang tertindas.
"Pembunuhan besar-besaran wartawan bukan sekadar angka sebaliknya ia adalah seruan kecemasan untuk bertindak. MAPIM dan semua persatuan media Malaysia mengecam pembunuhan terancang terhadap wartawan di Gaza.
"Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ Malaysia) perlu mengadakan sidang media tergempar bagi membincangkan langkah segera melindungi dan memperjuangkan nasib wartawan Palestin," katanya.

Pakaian bertanda "PRESS" kini tidak lagi memberikan perlindungan kepada golongan media, malah sering kali menjadi sasaran dron Israel di Gaza. - Kredit foto REUTERS
MAPIM juga menuntut boikot terhadap media dan platform yang bersubahat menutup jenayah Israel, serta tekanan terhadap syarikat teknologi yang menyekat laporan pro-Palestin.
"Kempen solidariti wartawan peringkat global patut dimulakan dari Malaysia, dengan slogan: "Kebenaran Di Bawah Serangan: Kewartawanan Bukan Jenayah."
"MAPIM juga meminta institusi media Malaysia menyerahkan memorandum rasmi kepada Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) dan mendesak siasatan dan pendakwaan jenayah perang Israel terhadap wartawan di mahkamah antarabangsa," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, MAPIM meminta Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia mengeluarkan kecaman rasmi terhadap pembunuhan wartawan di Gaza.

Dalam serangan di Khan Yunis, Gaza, seorang orang awam turut terkorban manakala sembilan wartawan lain cedera. - Kredit foto REUTERS
"Semua agensi media utama perlu menyiarkan segmen khas dan penghormatan wartawan syahid di Gaza. Ini termasuk fakulti kewartawanan di universiti-universiti Malaysia menganjurkan siri wacana dan program kesedaran etika kewartawanan mengenai penindasan dan genosid.
"Genosid terhadap wartawan Palestin bukan sekadar serangan terhadap rakyat Gaza tapi ia adalah serangan terhadap kebenaran, kemanusiaan dan jiwa kewartawanan itu sendiri. Kami tidak akan berdiam diri dan membiarkan suara mereka dikuburkan.
"Semoga Allah mengangkat darjat semua wartawan yang syahid, dan melindungi mereka yang terus berjuang demi menyampaikan kebenaran. Kami berdiri bersama wartawan Gaza. Kami berdiri bersama Palestin," katanya.
Sejak Oktober 2023, lebih 50,700 rakyat Palestin - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - terbunuh dalam serangan berterusan Israel ke atas wilayah terkepung itu. - KitaReporters