Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menyifatkan lawatan dua hari ke Turkiye pada awal tahun 2026 sebagai sangat berhasil kerana bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan dua hala merentasi pelbagai bidang strategik.
Tetapi lebih penting katanya dapat membuka peluang baharu yang membawa manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara.

Perkongsian berkenaan dibuat dalam laman Facebooknya sendiri sebelum berlepas pulang ke tanah air.
“Saya, Azizah dan delegasi Malaysia berlepas pulang ke Kuala Lumpur sebaik selesai urusan rasmi di Istanbul, Republik Turkiye.
"Kunjungan rasmi ke Ankara dan Istanbul ini sangat berhasil, bukan sahaja dalam memperkukuh hubungan dua hala merentasi pelbagai bidang strategik, malah membuka peluang baharu yang membawa manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Beliau secara tegas menjelaskan, Turkiye kekal sebagai jambatan strategik Timur dan Barat, serta rakan yang konsisten berteraskan prinsip, saling menghormati dan kepercayaan.
Terdahulu, Anwar dalam rangka lawatan rasmi ke Turkiye dari 6 hingga 8 Januari 2025 atas undangan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Beliau diiringi isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Ghani; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sepanjang lawatan 2 hari ke bumi Anatolia, beliau menyampaikan penghargaan setulusnya kepada Presiden Erdogan, Emine Erdogan serta seluruh rakyat Turkiye atas layanan penuh keikhlasan dan kekeluargaan yang diberikan.
“Salut saya kepada jentera Wisma Putra dan MITI, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, para petugas keselamatan serta rakan-rakan media yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan setiap atur cara berjalan lancar dan tersusun, Tesekkur!” katanya.

Sepanjang lawatan Anwar berharap dapat memperkukuh kerjasama dalam sektor strategik seperti pertahanan, tenaga, dan pembinaan, di samping meneroka peluang dalam teknologi baharu termasuk semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Berucap pada sesi meja bulat bersama pemain industri Turkiye dan Malaysia, Anwar menekankan kepercayaan dan persefahaman bersama yang terjalin antara kedua-dua negara selama berabad-abad.
Malah, Anwar menyatakan kekuatan Turkiye dalam sektor pertahanan, pembinaan, dan pembuatan maju melengkapi fokus Malaysia dalam bidang tenaga, teknologi, dan pertumbuhan industri. - KitaReporters