Kerajaan Malaysia menyatakan kesediaan untuk mengambil peranan penting dalam menyusun dan menggerakkan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang bakal melibatkan penyertaan lebih 80 negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani akan terbabit secara langsung dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0 ini sebagai kesinambungan perjuangan moral antarabangsa, yang menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira batas sempadan, bangsa atau agama.
"Insya-Allah, kita akan menggerakkan segala kudrat untuk membantu dan memperjuangkan hak rakyat Palestin.
"Keadilan ini tidak boleh lagi ditangguhkan demi sebuah Palestin yang bermaruah dan merdeka," tegasnya.
Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby yang juga Ketua Aktivis Kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), bersama Nadir Al-Nuri, Pengasas Sumud Nusantara di Perdana Putra, Putrajaya pada petang 13 Januari 2026.

Sumud Nusantara adalah inisiatif solidariti rantau Asia Tenggara dan adalah sebahagian daripada gerakan kemanusiaan antarabangsa Global Sumud Flotilla (GSF).
GSF digerakkan denagn bertujuan memecah sekatan Israel ke atas Gaza dengan mengirimkan bantuan kemanusiaan (yang berupa makanan, ubat-ubatan) melalui konvoi kapal awam, serta melambangkan "keteguhan" (sumud) masyarakat Nusantara untuk Palestin, dengan penglibatan banyak sukarelawan dan sokongan rakyat.
Menurut Perdana Menteri, beliau imaklumkan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing, sekatan bantuan yang berpanjangan, ketidaktentuan konflik, serta penderitaan rakyat Palestin yang terus dihimpit kekejaman.
"Sani dan Nadir juga berkongsi keberhasilan Misi Sumud Nusantara yang berjaya memecahkan kebisuan dunia dan mengangkat suara Gaza ke pentas antarabangsa.
"Sehubungan itu, kami turut bicarakan gerak kerja misi kemanusiaan seterusnya, termasuk peranan penting Kerajaan Malaysia dalam Global Sumud Flotilla 2.0 yang bakal melibatkan penyertaan lebih 80 negara," jelas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media
