Usaha mengehadkan tempoh penyandang menjawat jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal penuh atau 10 tahun adalah antara beberapa reformasi yang dilaksanakan dengan bermulanya tahun baharu 2026.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan Madani komited dengan agenda reformasinya ke arah menjadikan institusi serta kepimpinan negara dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada rakyat.
"Saya telah menyampaikan hala tuju dan inisiatif yang akan menggerakkan pentadbiran Kerajaan Madani sepanjang tahun ini.
"Usaha reformasi kekal menjadi tunjang untuk membina semula institusi negara dan memastikan pimpinan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada rakyat," ujar beliau pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Januari dan Amanat Tahun 2026 bertempat di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri di Putrajaya pada 5 Januari 2026.
Beliau berkata, antara reformasi utama yang akan dilaksanakan ialah pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
Langkah-langkah ini penting bagi mengukuhkan asas negara hukum yang lebih telus dan berintegriti, tegasnya.


Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Madani juga akan meneruskan usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran dengan memperkemas birokrasi, mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan awam, dan menyegerakan projek-projek rakyat seperti membaiki sekolah dan klinik daif, menutup jalan berlubang serta menambah lampu jalan.
"Pada masa sama, kebajikan rakyat kekal sebagai teras pentadbiran Madani. Bantuan bersasar, sokongan kos sara hidup, peningkatan gaji penjawat awam serta inisiatif pendidikan dan kesihatan dilaksanakan bagi memastikan hasil pertumbuhan ekonomi kembali kepada rakyat," jelas beliau.
Katanya, kesemua langkah ini saling melengkapi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, memperkukuh keyakinan pelabur, dan memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh seluruh rakyat.

"Semoga usaha reformasi dan inisiatif untuk rakyat ini mengukuhkan usaha kita untuk menjamin masa depan Malaysia yang lebih adil dan bermaruah untuk semua," harap beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media

