Politik & Negara 03 Mar, 2026

Mulanya Sumud Flotila! Kini ada Sumud Darat! Bukti solidariti teguh Malaysia dengan Palestin! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Malaysia terus komited dan tidak berganjak dalam mempertahan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestin ketika rantau Asia Barat itu kini berdepan dengan konflik terbaharu ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.



Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peluncuran Sumud Darat pada 1 Mac 2026 berlangsung pada saat rantau Asia Barat terus berdepan ketegangan yang meruncing dan ketidaktentuan yang membimbangkan dunia.

"Di tengah-tengah pergolakan ini, Malaysia memilih untuk berdiri teguh dengan tindakan yang nyata dan berprinsip," jelas beliau.

Pada 28 Februari 2026, Amerika Syarikat dan sekutu terpentingnya, Israel melancarkan serangan ke Iran dengan mengebom beberapa sasaran penting menggunakan pesawat pejuang dan peluru berpandu.

Serangan tersebut dilaporkan telah mengakibatkan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa ahli keluarganya terbunuh.



Sumud Darat ialah misi bantuan kemanusiaan Malaysia yang melibatkan penghantaran 30 kontena besar (374 tan) bahan makanan dan kit kebersihan ke Gaza, Palestin. 

Ia menjadi simbol solidariti rakyat Malaysia untuk meringankan beban penduduk Gaza akibat sekatan dan konflik, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan terhadap hak dan kelangsungan hidup mereka.

Kata Perdana Menteri, Sumud Darat menandakan komitmen Malaysia yang tidak lentur walau sedikit pun dalam mempertahankan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestin. 

"Kita menolak segala bentuk penindasan, menentang kezaliman tanpa mengira pelakunya, dan menyokong usaha ke arah keamanan yang berteraskan keadilan dan undang-undang antarabangsa," jelas beliau.

"Pada saat dunia terbelah oleh konflik dan perpecahan, Malaysia memilih jalan ihsan dan keberanian moral. 

"Usaha ini adalah cerminan kekuatan solidariti rakyat Malaysia, merentas agama, kaum dan latar belakang politik demi kemanusiaan," tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
7
0
8
0
You will be interested