
Isu paparan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang tular baru-baru ini telah mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dan pandangan. Insiden ini bukan sahaja dianggap mencacatkan imej bendera Malaysia, bahkan mencabar simbol maruah negara di mata rakyat dan dunia.
Sebagai lambang rasmi kedaulatan, Jalur Gemilang bukan sekadar corak warna semata-mata. Setiap elemen yang tertera padanya membawa pengertian yang mendalam -- termasuk bulan sabit yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan serta bintang pecah 14 yang menandakan kesatuan negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan di bawah panji negara.
Namun, kecuaian memaparkan bendera negara tanpa elemen penting ini telah menimbulkan persoalan besar dalam kalangan masyarakat — adakah ia benar-benar suatu kesilapan teknikal atau satu tindakan disengajakan?

Bukan Kesilapan, Tetapi Disengajakan
Menurut Prof. Dr Azmi Hassan, seorang geostrategis, insiden bendera tanpa bulan sabit ini tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia memberi gambaran seolah-olah wujud unsur disengajakan.
"Sukar untuk saya mempercayai bahawa insiden ini berlaku atas kecuaian, apatah lagi melibatkan dua media berbahasa Cina yang memaparkan bendera Malaysia tanpa bulan sabit dan hanya mengekalkan bintang.
"Jika kesilapan melibatkan jumlah jalur atau bilangan bintang yang tidak tepat, mungkin ia boleh dipertimbangkan sebagai kecuaian teknikal. Namun, dalam kes ini, ketiadaan bulan sabit jelas bukan suatu kesilapan remeh.”, katanya.
“Oleh itu, saya berpendapat tindakan tegas perlu diambil, bukan hanya sekadar amaran atau memaksa pihak terlibat mengikuti kursus kesedaran. Hukuman dalam bentuk penalti kewangan yang berat perlu dikenakan, selain mempertimbangkan penggantungan sementara lesen penerbitan bagi menunjukkan ketegasan kerajaan dalam menjaga maruah simbol negara.” katanya.
“Jika langkah tegas tidak diambil, dikhuatiri insiden ini akan berulang dan dianggap remeh oleh pihak lain. Ini bukan kali pertama kes sebegini berlaku dan sewajarnya menjadi pengajaran kepada semua”, ujarnya lagi.
Prof. Azmi turut mengulas isu berkaitan TCE Baby Expo yang dikaitkan dengan syarikat dari Singapura, Singapore Lactation Bakes (SLB). Beliau menyatakan bahawa meskipun SLB tidak mempunyai kedai fizikal di Malaysia, penjualan produk mereka secara dalam talian wajar dipantau oleh pihak berkuasa sebagai amaran tegas terhadap kesalahan ini.
"Langkah melarang kemasukan atau penjualan produk SLB dalam pasaran Malaysia, termasuk secara dalam talian, adalah wajar bagi memberi pengajaran.
"Walaupun syarikat ini berpangkalan di luar negara, tindakan tegas tetap relevan untuk menegakkan maruah negara dan memastikan sensitiviti kebangsaan tidak dipandang ringan.", tambahnya.

Prof. Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din
Perspektif Psikologi: Teroka Pemikiran, Bukan Hanya Menghukum
Dalam pada itu, Prof. Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din, Pakar Psikologi Kaunseling dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), melihat isu ini dari sudut psikologi tingkah laku dan motivasi.
“Setiap tindakan adalah hasil daripada struktur pemikiran individu. Oleh itu, kita tidak boleh terburu-buru menjatuhkan hukuman tanpa terlebih dahulu memahami niat, emosi, dan latar belakang pelaku.
"Apakah perasaan yang mendorongnya? Adakah marah, benci, khianat, atau tidak hormat terhadap simbol negara? Ini semua perlu diteroka," katanya.
Jika kita hanya fokus kepada hukuman keras tanpa mendalami punca, kita berisiko mencetuskan konflik yang lebih besar. Pendekatan psiko-pendidikan lebih berkesan untuk meningkatkan kefahaman dan kasih sayang rakyat terhadap bendera negara.”
Tambah beliau, adalah penting untuk kerajaan merangka program pendidikan berterusan -- bukan semata-mata kursus penerangan -- bagi menanam semula nilai hormat terhadap Jalur Gemilang.
Psiko-pendidikan, menurut beliau, harus menjadi asas dalam mendekatkan rakyat kepada simbol kebangsaan, bukan sekadar menekankan undang-undang.

Perspektif Akademik: Kesedaran Awam Masih Lemah
Mengulas isu bendera Jalur Gemilang yang dipaparkan tanpa lambang bulan sabit, Norazlinda Mohammad, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah menzahirkan rasa kecewa dan menyifatkan kejadian itu sebagai satu penghinaan terhadap maruah serta kedaulatan negara.
"Lambang dan warna pada Jalur Gemilang bukan sekadar hiasan -- ia membawa makna yang besar, mencerminkan identiti, jati diri serta kedaulatan negara. Hilangnya simbol bulan sabit, yang mewakili Islam sebagai agama Persekutuan, adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tersebut berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama kerana ia menyentuh isu-isu sensitif seperti raja, kaum dan agama (3R).
“Ini bukan soal kesilapan teknikal semata-mata. Ia boleh dianggap sebagai provokasi yang menghina simbol rasmi negara, malah seolah menafikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi,” katanya lagi.
Norazlinda berpandangan bahawa tindakan memanipulasi Jalur Gemilang sama ada dengan sengaja atau tidak, adalah tidak beradab dan mencerminkan kegagalan dalam mengamalkan nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Oleh itu, beliau menyeru agar tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Beliau turut menyarankan agar pendidikan berkaitan sejarah dan simbol negara diperkasa semula di institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti awam.
“Generasi muda harus dididik untuk menghargai jasa wira negara dan mempertahan kemerdekaan. Jalur Gemilang bukan sekadar kain; ia adalah lambang maruah dan kedaulatan yang perlu dijaga dan dihormati,” tambahnya.
Norazlinda mencadangkan supaya kempen kesedaran mengenai penghormatan terhadap Jalur Gemilang diteruskan secara konsisten, bukan sahaja oleh pihak berkuasa tetapi juga melalui sistem pendidikan.
“Hanya dengan penanaman nilai cinta negara dan penghayatan terhadap sejarah, kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai jati diri yang kuat, rasional dan bertanggungjawab memelihara keharmonian serta perpaduan negara,” katanya mengakhiri pandangan.

Menjaga Maruah Negara, Tanggungjawab Bersama
Kesimpulannya, isu berkaitan paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit ini bukan sekadar soal teknikal atau rekaan grafik yang silap. Ia merupakan cerminan kepada tahap patriotisme, pengetahuan sivik dan rasa hormat masyarakat terhadap simbol negara.
Bak peribahasa Melayu, "kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau."
Begitulah pentingnya nilai patriotisme yang harus dipupuk dalam diri setiap warganegara agar maruah negara tidak sesekali dicemari oleh sikap sambil lewa atau ketidaktelitian.
Bendera bukan sekadar lambang visual, sebaliknya ia adalah identiti yang merentasi kaum, agama dan ideologi politik. Oleh itu, menghormati Jalur Gemilang merupakan asas dalam membina Malaysia yang lebih bersatu padu dan bermaruah. - KitaReporters