PENDUDUK Palestin adalah umat Islam yang kuat, buktinya daripada sejarah perjuangan mereka yang panjang bagi membebaskan bumi para anbiya itu.
Walaupun diserang, dibunuh, dirogol, didera, dipukul dan melalui peperangan secara berterusan sepanjang tempoh lebih 70 tahun, tetapi mereka tetap teguh menghadapi Zionis Israel tanpa banyak mengeluh.
Bayangkan jika mereka lemah, pasti bangsa Palestin sudah pupus atau lenyap daripada muka bumi ini. Apatah lagi lawan yang mereka hadapi bukan calang manusia.Bangsa Yahudi bukan sembarangan orang kerana dalam sejarah Islam, mereka sentiasa mencari jalan bagi memusnah Islam termasuk ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup. Kini, mereka terus berkuasa dengan sokongan kuat sekutunya, Amerika Syarikat.
Sebahagian hadirin yang datang untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.
Tetapi, dalam keadaan mereka yang daif, tidak cukup makan dan rumah yang hanya sekadar menjadi tempat berlindung daripada hujan panas, mereka masih kuat dan berani untuk berdepan dengan pengganas Zionis Israel.
Kekuatan mereka mempertahan tanah air dan akidah agama patut menjadi teladan kepada umat Islam di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mendedahkan rahsia kekuatan mental dan fizikal penduduk Palestin dalam ceramah khas sempena Malam Deklarasi: Bangi Cinta Palestin di Dewan Tuan Guru Haron Din, Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.
Program itu mendapat kerjasama Persatuan Siswazah Islam Prihatin (PERSIP), Pertubuhan Ikatan Wanita Prihatin (PIWP), Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi.
Pengalaman Nadir di Palestin terutama Gaza sejak 2013 termasuk berkahwin dengan balu pejuang Palestin, Reem Al-Minawi membolehkan beliau melihat sendiri bagaimana pembentukan kekuatan rakyat Palestin yang dibina sejak zaman kanak-kanak, tarbiah dan asuhan sehingga mereka menjadi insan yang hebat.
Ikutilah ceramahnya itu dan selamat membaca!
Sebahagian NGO yang hadir menunjukkan sokongan mereka sempena Malam Deklarasi: Bangi Cinta Gaza.
"SEJARAH Palestin memang panjang dan penderitaan mereka silih berganti sejak penjajahan pada 1948 sehingga kini. Mereka kini berada dalam Nakbah 2.0 dan jumlah warga Palestin yang syahid sudah melebihi 40 ribu sejak 7 Oktober 2023.
"Bayangkan setiap seminit ada yang mati syahid di bumi Gaza. Mereka yang dihalau dari tanah asal mereka lebih dua juta dan 70 peratus bumi Gaza sudah musnah.
"Kita sering mendengar hadis Nabi SAW mengenai umat yang cukup kuat dan hebat, golongan itu tidak akan hilang atau musnah kerana mereka jelas dengan pendirian, tahu siapa musuh dan apa patut dilakukan. Malah, mereka tidak akan terkesan dengan orang yang mengecewakan mereka."Melihat penderitaan dan ketabahan mereka, kita pasti bertanya apa rahsia mereka bertahan dan kuat walaupun penyembelihan serta pembunuhan setiap hari.
"Saya melihat wajah Gaza sejak 2013 dan apabila melangkah kali pertama, saya sudah diingatkan bahawa berada di sana (Gaza) kamu adalah murabbi. Jika itu niat kamu mempertahankan bumi Gaza, maka setiap saat, pahala akan mengalir walaupun kamu tidak melakukan apa-apa.
Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman
"Kamu juga perlu faham, apabila menjadi murabbi di Gaza, tubuh kamu menjadi benteng mempertahankan bumi Palestin daripada dicerobohi musuh laknatullah.
"Saya ingat kata-kata penduduk Gaza itu sehingga kini malah kagum melihat kekuatan mereka. Saya menjumpai beberapa jawapan daripada kekuatan itu, salah satunya solat subuh berjemaah.
"Solat jemaah bukan sekadar subuh tapi maghrib dan isyak, ia seperti satu budaya dalam kalangan mereka."Bayangkan, kanak-kanak dalam usia empat dan lima tahun sudah duduk di masjid, membaca dan menghafal al-Quran dengan ustaz-ustaz yang dianggap seperti ayah sendiri. Tidak hairanlah kebanyakan malah majoriti penduduk Palestin boleh menghafal kitab suci itu.
"Apabila dewasa, mereka masuk dalam kumpulan usrah, diperkenal dengan semangat perjuangan, akidah, sirah dan hadis. Mereka juga diceritakan berulang kali bagaimana negara mereka diambil secara haram dan paksaan.
"Apabila berusia sekitar 17 tahun, mereka diberi pilihan sama ada menyertai bidang politik bersama Hamas atau ketenteraan bersama Briged al-Qassam. Dan, ketika inilah mereka berjanji setia (baiah) bersama guru-guru mereka.
Sebahagian orang ramai yang hadir sempena Malam Deklarasi: Bangi Cinta Gaza di Masjid Al-Umm Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, Selangor.
"Jika memilih Briged al-Qassam, ada beberapa syarat tambahan perlu diikuti, antaranya hafal al-Quran, solat jemaah 40 hari tanpa tertinggal sehari pun di masjid dan memiliki akhlak yang baik.
"Tidak hairanlah apabila dibesarkan dengan bacaan al-Quran, kemudian masuk perjuangan, mereka tidak berundur lagi ke belakang atau mencari haluan lain untuk meninggalkan perjuangan suci itu.
"Dengan penghayatan mereka terhadap al-Quran, kita membaca kisah-kisah menyedihkan yang kadangkala tidak masuk akal."Contohnya ibu-ibu di hospital yang tidak boleh melahirkan anak secara biasa dan perlu dilakukan pembedahan atau caesar, bayangkan perut mereka dibelah bagi mengeluarkan bayi, kemudian dijahit semula tanpa ubat bius atau tahan sakit dalam keadaan mereka masih sedar.
"Saya pun tertanya-tanya juga, tidak sakitkah mereka? Tapi apabila mendengar mulut mereka kumat kamit membacakan ayat-ayat al-Quran, saya mengucap dan memuji kebesaran Ilahi betapa ayat-ayat al-Quran menjadi penawar sebagai ubat tahan sakit dan bius bagi menenangkan fikiran daripada berfikir mengenai kesakitan.
Kanak-kanak turut menyatakan sokongan ke atas perjuangan suci rakyat Palestin melawan kekejaman Zionis Israel.
"Ada juga kisah seorang kanak-kanak yang mati syahid, semerbak wangi seluruh hospital dan kemudian masing-masing bertanya apakah kebaikan budak kecil itu sehingga Allah kurniakan kebaikan, Allah angkat darjatnya walaupun belum dikebumikan.
"Rupanya kanak-kanak ini dalam keadaan peperangan, setiap kali mendengar laungan azan, dia akan mencari dan memanggil kawan-kawannya untuk solat berjemaah dan pada tangannya sentiasa ada tasbih elektronik, yang membuktikan dia tidak pernah berhenti berzikir. Ini buktinya akidah mereka luar biasa."Rahsia kedua kerana mereka mempunyai murabbi yang hebat. Baru-baru ini kita mendengar berita pembunuhan ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh. Beliau adalah anak didik Sheikh Ahmad Yassin.
"Setiap kali saya membaca kisah-kisah mengenai pejuang sejati itu, terbayang wajahnya yang sentiasa tersenyum dan memberi harapan kepada jutaan rakyat Palestin, malah saya sempat berjumpanya beberapa kali di Gaza.
Deklarasi Bangi Cinta Gaza antara lain untuk terus menyokong dan memberi bantuan kepada perjuangan rakyat Palestin.
"Saya juga teringat kepada seorang lagi pemimpin Hamas, Dr ibrahim ketika dia menyampaikan motivasi kepada pemuda dan remaja Palestin, tiba-tiba datang seorang lelaki memberitahu anaknya meninggal dunia.
"Tapi Dr Ibrahim menerimanya dengan tenang dan tidak meninggalkan majlis sebaliknya meneruskan motivasi yang terhenti sekejap itu.
"Kata Dr Ibrahim, untuk apa aku perlu meninggalkan kalian, sedangkan kamu masih hidup. Jika aku meninggalkan kamu dan pergi melihat keadaan anak aku, dia tidak akan hidup semula."Lebih baik aku bersama kalian bagi menghidupkan hati-hati kamu dengan taqwa dan semangat perjuangan. Selesai nanti, aku akan uruskan pengebumian anak aku.
"Bayangkan semangat dan perjuangan mereka, itu baru sikit berbanding semangat kita di Malaysia yang mudah luntur apabila diasak dengan tekanan dan perjuangan.
"Contohnya masjid mengadakan program berkaitan Palestin dan di masjid lain diadakan makan percuma. Agak-agak masjid mana jemaah lebih ramai? Saya pasti anda tahu jawapannya.
"Rahsia ketiga ialah kekuatan dalaman anak-anak Palestin. Kanak-kanak pernah ditanya oleh wartawan sama ada mereka takut melihat pesawat-pesawat musuh melintas di atas kepala?
"Yang kelakar, kanak-kanak itu pula bertanya kepada wartawan, adakah pesawat itu terbang di bawah arasy Allah atau di luar arasy Allah? Jika pesawat itu terbang di luar arasy Allah baru kami takut. Jawapan itu menyebabkan wartawan terbabit terkedu.
Wakil daripada Pertubuhan Ikatan Wanita Prihatin (PIWP) menyerahkan sumbangan kepada Nadir sebagai mewakili Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia.
"Apabila ditanya lagi tidakkah takut roket-roket besar yang ditembak ke rumah kamu? Mereka menjawab kenapa perlu takut, sedangkan kami ada Allah yang jauh lebih besar.
"Inilah contoh bagaimana berkesannya pendidikan anak-anak Palestin, mereka membesar dengan keyakinan dan fokus yang satu iaitu membebaskan bumi mereka dan mengusir musuh keluar tanpa rasa takut.
"Saya sudah mengadakan 200 ceramah sejak 7 Oktober 2023 tapi pengetahuan rakyat di negara ini mengenai Palestin masih jauh."Contohnya ketika berceramah di satu tempat, tiba-tiba ada jemaah mengangkat tangan dan bertanya bagaimana keadaan Masjid al-Aqsa dalam peperangan ketika ini?
"Rasa macam nak baling mikrofon. Nampak sangat tidak tahu di mana Masjid al-Aqsa dan Gaza. Ia berada dalam jarak yang jauh, dua penempatan berbeza.
"Malah, kami yang menetap di Gaza tidak pernah sekali pun dapat bersolat di sana kerana perlu melalui sekatan-sekatan tentera Zionis Israel yang sentiasa menghalang umat Islam Palestin mengunjungi masjid suci itu.
Barisan jawatankuasa Malam Deklarasi: Bangi Cinta Gaza bergambar kenangan bersama Nadir al-Nuri, isteri Reem Al-Minawi dan anak-anaknya.
"Saya juga mendapati, sepanjang berceramah, ramai rakyat Malaysia tidak faham isu Palestin, sebab itu ada menyokong, was-was dan enggan terbabit untuk menyokong serta menderma.
"Jadi, saya mencadangkan kisah-kisah mengenai Palestin boleh dimasukkan dalam pengajian di masjid supaya jemaah dapat memahami secara detail, tak kenal maka tak cinta. Saya dah kenal sebab itu saya jatuh cinta dengan Palestin.
"Saya berharap rakyat Malaysia menggerakkan anak-anak menjadi seperti penduduk Palestin dengan memberi pendidikan al-Quran supaya mereka kuat mental dan fizikal, tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara negatif dan kuat akidah."Apa salah, ketika menonton berita mengenai Palestin, ibu bapa bolehlah bercerita kisah-kisah perjuangan di sana semoga mereka tahu dan apabila besar mencintai bumi Palestin malah berazam menjadi tentera-tentera kecil dalam usaha membebaskan bumi para anbiya itu dan Masjid al-Aqsa. Apabila ini dapat dilakukan, insya-Allah Islam akan kembali gemilang.
"Dalam keadaan kita tidak boleh berbuat apa-apa walaupun hampir setahun peperangan, sekurang-kurang jangan putus asa atau kecewa, teruslah mengadakan ceramah dan aktiviti mengenai Palestin selain menderma, semoga usaha kecil kita ini Allah melihat sebagai satu sumbangan kepada bumi dan tanah suci Palestin.
"Nanti di akhirat, semoga sedikit sumbangan ini, ia adalah jawapan kita di hadapan Allah." - KitaReporters