Politik & Negara 20 Dec, 2023

Perhimpunan Wanita Malaysia Untuk Palestin! Wujudkan Tabung Bantuan Kanak-Kanak dan Wanita Palestin!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Kenyataan Media Perhimpunan Wanita Malaysia Bersolidariti dengan Palestin

16 Disember 2023


Inisiatif Wanita Malaysia bersolidariti dengan Palestin merupakan suatu usaha untuk berdiri teguh menyokong perjuangan demi pembebasan Palestin. 

Ia merupakan inisiatif yang akan berterusan dilakukan sehingga perjuangan pembebasan Palestin tercapai.

Kami berpendirian sikap kebanyakan rakyat Malaysia jelas adalah pro-Palestin. Kebanyakkan rakyat memang sangat cenderung kepada menyuarakan hak Palestin.

Penderitaan Palestin sejak 75 tahun yang lalu tetap menjadi perhatian rakyat Malaysia. Malaysia terus konsisten dengan prinsip keadilan dan kebenaran bila menyentuh soal Palestin.

Kami mengutuk dan membantah keras terhadap Israel yang kini melaksanakan jenayah genosid di Gaza dengan sokongan Amerika secara terang terangan.

Kami berpandangan Israel perlu diheret ke Mahkamah Antarabangsa kerana pihak PBB tidak lagi boleh berkompromi dengan jenayah perang dan genosid oleh Israel.

Pembunuhan barbarik Israel ke atas Gaza tidak boleh diterima atas nama hak menpertahan diri. Perlawanan warga Palestin terhadap Israel adalah sah mengikut undang-undang antarabangsa.



Kami berpendirian Israel tidak berhak mempertahan diri kerana Israel adalah penjajah yang telah melakukan jenayah paling brutal sepanjang 75 tahun. Semua tindakan Israel jelas melanggar setiap perundangan antarabangsa. 

Israel kini menjadikan Gaza sebagai medan pembunuhan (killing field). Kematian kini sudah mencecah hampir 19,000 dalam tempoh 70 hari. Hampir 70% darinya adalah kanak-kanak dan wanita. 

Sementara itu 8,000 orang masih tidak ditemui di bawah runtuhan bangunan. 

Bermakna kematian setakat ini sudah melebihi 27,000 orang akibat serangan Israel bermula pada 7 Oktober 2023.

Israel telah melanggar semua undang-undang antarabangsa. Malah Israel tidak peduli terhadap puluhan resolusi yang dilulus oleh PBB mengenai jenayah Israel. 

Soalnya Amerika Syarikat menjadi pendalang keganasan Israel terhadap Palestin. Malah Amerika menjadi pembekal senjata pembunuh paling canggih untuk menghapuskan infra struktur awam di Gaza.

Kami mendesak PBB melakukan tindakan untuk mengetepikan kuasa veto Amerika di Majlis Keselamatan PBB. Israel tidak boleh dilindungi terhadap jenayah perang yang sangat jelas dilakukannya. 

Kami menyeru pihak kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim berperanan pada peringkat antarabangsa untuk mengukuhkan kerjasama antara negara-negara Islam dan bukan Islam dengan melakukan anjakan polisi luar untuk menekan Amerika agar berhenti menyokong keganasan Israel.



Kami menyeru rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama agar bersatu menegaskan bahawa pihak Israel adalah negara haram yang tidak boleh diiktiraf. 

Malah Israel adalah negara teroris yang melaksanakan dasar aparteid yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Kami menggesa untuk kaum wanita di Malaysia mengguna kuasa pengguna mereka untuk memboikot semua syarikat yang pro-Israel.

Kaum wanita di Malaysia perlu digembleng agar bekerjasama membina kesedaran masyarakat secara berterusan terhadap isu Palestin. Kumpulan NGO wanita Malaysia pelbagai bangsa harus menggiatkan usaha untuk menyuarakan isu Palestin.

Kami menyarankan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat bertindak aktif untuk mewujudkan Tabung Bantuan Kanak-Kanak dan Wanita Palestin ke arah menyediakan keperluan asas mereka dalam membina semula kehidupan di Gaza.


Urusetia Perhimpunan Wanita Untuk Palestin.


8
13
0
5
0
You will be interested