Malaysia kini melalui fasa urbanisasi yang pesat, seiring kemajuan ekonomi dan pembangunan infrastruktur negara. Kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan George Town menarik ramai penduduk dari luar bandar untuk mencari pekerjaan, pendidikan serta kemudahan hidup lebih baik. Namun, kemajuan ini turut membawa pelbagai cabaran.

Sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025, Fadillah Yusof merasmikan Galeri Lawa yang berfungsi sebagai ruang pameran dan jualan hasil seni dan kraf.
Antara isu membabitkan urbanisasi ialah kesesakan lalu lintas, kekurangan perumahan mampu milik, pencemaran alam sekitar dan tekanan terhadap kemudahan awam.
Pertambahan penduduk bandar menyebabkan permintaan tinggi terhadap tenaga, air dan sistem pengangkutan.
Dalam menghadapi realiti ini, transformasi digital antara penyelesaiannya. Melalui pelaksanaan inisiatif seperti Smart City (Bandar Pintar) dan Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDigital), teknologi kini menjadi pemangkin utama kepada pembangunan bandar yang lebih mampan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penggunaan data besar, kecerdasan buatan (AI), dan Internet Pelbagai Benda (IoT) membantu kerajaan serta pihak berkuasa tempatan merancang bandar dengan lebih efisien, daripada kawalan trafik hingga ke pengurusan sisa dan keselamatan awam.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud menerima plak Anugerah Perdana Bandar Mampan Madani 2025 daripada Fadillah Yusof.
Fadillah berkata, transformasi digital bukan sahaja menjadikan bandar lebih pintar, malah meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Penduduk kini boleh mengakses perkhidmatan awam secara dalam talian, menggunakan aplikasi mobiliti pintar, serta menikmati persekitaran bandar yang lebih bersih dan selamat.
"Urbanisasi di Malaysia adalah satu proses yang tidak dapat dielakkan, namun dengan sokongan transformasi digital, ia boleh menjadi pemacu kepada kemajuan negara yang lebih inklusif dan lestari.
"Malaysia kini di landasan kukuh dalam pembangunan bandar lestari pada peringkat global dengan komitmen jelas terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 11: Bandar dan Komuniti Lestari," katanya ketika merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025 peringkat Kebangsaan di Dewan Persidangan Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Ia dianjurkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), PLANMalaysia dan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP). Turut diadakan ialah Kongres Perancangan Kebangsaan (National Planning Congress atau NPC) 2025 serta MyCity Expo 2025.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif menerima plak Anugerah Khas SDG II daripada Fadillah Yusof.
Beliau berkata, Malaysia diiktiraf antara negara paling aman di dunia apabila menduduki tangga ke-13 daripada 163 negara dalam Global Peace Index 2025.
Untuk Smart Cities Index pula, Kuala Lumpur di kedudukan ke-65 pada tahun 2025 berbanding tangga ke-73 pada 2024.
"Pencapaian-pencapaian ini membuktikan pendekatan Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian alam, serta pengukuhan dan pembudayaan agenda digitalisasi mula membuahkan hasil.
"Fokus diberikan kepada perancangan bandar dan KPKT diberi mandat melaksanakan agenda pembaharuan semula bandar, penyediaan perumahan berkualiti dan pengukuhan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.
"KPKT turut giat memanfaatkan teknologi pintar termasuk AI bagi meningkatkan keberkesanan perancangan dan pengurusan bandar sebagai bukti aspirasi Malaysia Madani diterjemahkan dalam memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Namun, katanya segala dasar dan inisiatif ini hanya dapat dilaksanakan dengan kepakaran perancang bandar dan pengurus-pengurus bandar.
"Terima kasih kerana melakukan perancangan yang rapi dan tata kelola yang baik, hasilnya dapat dilihat dengan pembentukan bandar lebih tersusun, inklusif dan seimbang," katanya lagi.

Majlis Perbandaran Kajang turut mengambil bahagian di reruai Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 dengan tema Smart Kajang 2030.
"Tahun ini, dengan tema ‘Pembaharuan Semula Bandar: Agenda Perancangan Untuk Rakyat", kerajaan menegaskan bahawa setiap usaha perancangan bandar mesti memberi manfaat kepada rakyat.
"Kejayaan memperbaharui semula bandar dan pembangunan lestari tidak boleh digalas kerajaan semata-mata tapi memerlukan usaha rakyat, sektor awam dan swasta.
"Alhamdulillah, melalui teknologi pintar dan data masa, perancangan bandar kini lebih responsif dan memberi manfaat terus kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata pada 2024, kadar urbanisasi Malaysia dijangka meningkat dari 75.8 peratus pada 2024 kepada 85 peratus menjelang 2040.
Ini membawa pelbagai cabaran termasuk kemampuan memiliki rumah, pencemaran, isu keselamatan, transformasi digital serta tekanan menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan bandar yang efisyen.
Justeru, beliau berkata Malaysia tidak boleh mengetepikan hakikat bahawa transformasi digital kini muncul sebagai salah satu isu perbandaran yang memerlukan perhatian serius, bukan sekadar penggunaan teknologi canggih, tetapi memastikan bandar-bandar di negara ini mampu menyediakan akses selamat dan saksama kepada semua lapisan masyarakat.

Kebun Komuniti Putrajaya menceriakan reruai Hari Perancangan Bandar Sedunia dengan mempamerkan pelbagai jenis tumbuhan dan sayuran-sayuran.
"Beberapa PBT mula menggunakan infrastruktur digital sebagai asas kecerdasan, contohnya pelaksanaan Smart Street Light oleh Perbadanan Putrajaya, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Smart Pole di bandar-bandar utama seperti Shah Alam, Johor Bahru dan Teluk Intan.
"Smart Traffic Light juga dipasang di Seremban dan Manjung, manakala inisiatif CCTV Pintar dilaksanakan di Sibu dan Muar.
"Smart Pedestrian Crosswalk turut dipasang di Batu Pahat dan Kuantan. Inisiatif ini meningkatkan keselamatan rakyat selain merealisasikan aspirasi Smart Nation (Negara Pintar) menjelang tahun 2040," katanya.
Katanya, penggubalan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) antara reformasi perundangan penting untuk memperkukuhn tadbir urus bandar dan menjadi asas kukuh untuk menghadapi cabaran pembangunan masa hadapan.
"Jika kita lihat pembaharuan semula bandar, Malaysia sudah tertinggal 40 tahun berbanding negara jiran seperti Singapura selain Australia, Jepun, China dan Hong Kong.
"Kita tidak boleh membiarkan wujudnya situasi ‘bandar dua darjat’ - satu kawasan membangun pesat dan ada kawasan terpinggir dengan bangunan lama, infrastruktur usang dan isu sosial.
"Justeru, pembaharuan semula bandar bukan sekadar pilihan tetapi suatu tuntutan mendesak," katanya.

Sinan Rauf Mohammad Fairuz yang disahkan menghidap autisme tahap ringan tapi mempunyai bakat besar dalam bidang seni turut mengejut Fadillah Yusof ketika mengunjungi reruainya di Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025.
Sehubungan itu, katanya penggubalan Akta PSB adalah amanah kepada profesion perancang bandar bagi masa depan bandar yang responsif dan berdaya huni.
Ia seiring Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sekali gus iltizam Kerajaan Madani untuk "melakar Semula Pembangunan” secara inklusif, mampan dan terangkum.
"Tanpa RUU PSB, proses pembaharuan semula bandar akan mengambil masa panjang, terdedah kepada manipulasi pihak-pihak berkepentingan dan mengurangkan potensi peningkatan nilai ekonomi yang boleh merencatkan landskap pembangunan negara.
"KPKT menyambut baik pandangan menambah baik RUU PSB. Jika terdapat cadangan baik, kami bersedia membuat pindaan berkaitan dan membawanya ke Parlimen agar dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di kawasan bandar yang usang dan daif," katanya.

Fadillah Yusof bergambar kenangan bersama sebahagian VIP dan pengunjung yang hadir sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025.
Beliau berkata, kerajaan juga bertekad melaksanakan pembaharuan semula bandar dan transformasi ke arah bandar pintar, agar tiada komuniti tertinggal dalam arus pembangunan. Justeru, perancang bandar dan pengurus-pengurus bandar perlu membantu bagi mengintegrasikan pendekatan bandar pintar dalam tadbir urus.
"Saya juga berharap pihak swasta terus melabur dalam pembangunan, teknologi, inovasi dan infrastruktur bandar pintar manakala NGO dan komuniti meningkatkan ilmu untuk memanfaatkan aplikasi digital dan platform pintar," tambah beliau.
Dalam perkembangan sama, KPKT akan memiliki aplikasi pintar sendiri bagi memastikan semua aktiviti seperti cukai taksiran, pembaharuan dokumen dan aduan dapat dilakukan menggunakan satu aplikasi.
"Penggunaan aplikasi PBT Pay contohnya, memudahkan orang ramai membuat pembayaran malah pihak kami mengutip lebih RM600 juta menggunakan aplikasi pintar itu," katanya lagi. - KitaReporters