Video| Pekerja perlu selamat, berjaya di tempat kerja! Semai budaya pencegahan kemalangan! - Perkeso
@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai
1. Stringer Berita Harian
2. Wartawan Berita Harian
3 . Penyunting Harian Metro
4. Grup Editor Majalah IBUBAPA
Share this
Artikel ini bersempena Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja.
TANGGAL 24 April 2023 adalah hari ulang tahun ke-10 kejadian tragis runtuhan bangunan Rana Plaza di Dhaka, Bangladesh, di mana 1,138 pekerja sebuah kilang tekstil telah terkorban dan 2,500 lagi cedera.
Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, dia masih ingat dengan jelas pengalaman semasa mengadakan perbincangan bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkenaan pertikaian penggunaan Hukum Faraid bagi mengagihkan faedah keselamatan sosial untuk mangsa warga Bangladesh dalam kemalangan ngeri tersebut.
PERKESO adalah sebuah agensi kerajaan Malaysia yang ditubuhkan bagi mentadbir dan melaksanakan skim keselamatan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Namun demikian, tragedi seperti berikut boleh dielakkan jika langkah-langkah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja diberi keutamaan.
Prinsip utama di sebalik pencegahan kemalangan di tempat kerja dan penyakit pekerjaan adalah menyelamatkan nyawa manusia. "Dan sebagai seorang pengamal perubatan, nilai ini sangat dekat di hati saya," kata Dr Mohammed Azman.
Pada tahun 2022 sahaja, sejumlah 72,149 laporan telah dibuat kepada PERKESO berkaitan kemalangan pekerjaan, termasuklah kemalangan semasa dalam perjalanan dan penyakit khidmat.
menurutnya, kos kemalangan di tempat kerja yang melibatkan perubatan, penyelesaian pertikaian, kehilangan pendapatan dan kemiskinan adalah kos yang terpaksa ditanggung oleh ekonomi sesebuah negara.
Manakala di PERKESO, Orang Berinsurans (OB) yang layak serta orang tanggungan mereka menerima faedah keselamatan sosial seperti bantuan kewangan dan kemudahan pemulihan bagi mencegah kemiskinan akibat musibah tersebut.
Sekiranya OB PERKESO meninggal dunia akibat kemalangan berkaitan pekerjaan, ia boleh membawa kepada ratusan ribu ringgit liabiliti yang ditanggung oleh PERKESO dari segi bayaran Faedah Orang Tanggungan.
Dr Mohammed Azman berkata, hampir tiga pekerja Malaysia meninggal dunia setiap hari akibat kemalangan berkaitan pekerjaan.
Tambahan pula, pampasan sahaja tidak boleh menggantikan produktiviti yang hilang akibat masa yang dihabiskan pekerja di luar waktu kerja akibat daripada bencana kerja.
Berdasarkan data PERKESO, Malaysia kehilangan lebih daripada 5.8 juta hari produktif bekerja setiap tahun akibat kemalangan pekerjaan.
Secara keseluruhannya, PERKESO melihat kepada kos langsung ke atas pasaran buruh yang bernilai lebih daripada RM3.64 bilion dalam bentuk bayaran pampasan dan kehilangan produktiviti.
Dengan mengambil kira kos tidak langsung lain seperti kos perubatan yang bersubsidi tinggi di negara ini, morbiditi, kualiti hidup dan kesan kemalangan kepada industri, PERKESO menganggarkan kesan yang berlipat kali ganda lebih besar kepada negara.
Malah, setiap kecederaan, hilang upaya kekal atau kematian berkaitan pekerjaan, negara juga akan kehilangan pelaburannya dalam modal insan serta pembangunan kemahiran tenaga kerja.
Alhamdulillah pencarum yang menikmati bantuan dari PERKESO. - Kredit Gambar Perkeso Rawang.
Pada peringkat keluarga pula, mereka terpaksa hadapi tekanan emosi, tanggungjawab penjagaan tambahan dan kesukaran apabila pencari nafkah utama terlibat dalam bencana kerja, malah lebih buruk lagi, apabila pencari nafkah meniggal dunia.
"Oleh itu, suka saya tekankan bahawa Malaysia perlu memperkasa budaya keselamatan di tempat kerja, selaras dengan strategi Vision Zero (Wawasan Sifar), berdasarkan prinsip bahwa setiap kemalangan boleh dicegah.
"Selain itu, PERKESO turut mengambil kira perubahan dalam dunia pekerjaan yang merangkumi jenis-jenis pekerjaan baharu dan sistem aturan kerja yang lebih anjal – yang menimbulkan risiko baharu dalam keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
"PERKESO, dengan kerjasama pemegang taruh utama seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) and Jabatan Pengangkutan Jalan, telah melaksanakan program-program pencegahan, latihan untuk penyelaras keselamatan pekerjaan di syarikat, modul tunggangan defensif untuk penunggang gig dan pemantauan kemalangan di bawah Ops Cegah," kata Dr Mohammed Azman lagi.
Pada tahun ini sahaja, PERKESO telah memperuntukkan RM3.7 juta dalam bentuk geran kewangan kepada 38 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan institusi-institusi lain untuk melaksanakan lebih 600 program pencegahan di seluruh negara, yang bertumpu kepada peningkatan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tambah beliau.
PERKESO turut menganjur majlis perjumpaan untuk menyebarkan faedah kepada rakyat.
"Peruntukan sebeginilah merupakan satu pelaburan yang saya sentiasa perjuang.
"Sebagaimana pohon yang memerlukan penjagaan dan perhatian rapi untuk tumbuh mekar, begitu juga golongan pekerja yang memerlukan langkah berjaga-jaga dan pencegahan yang sewajarnya untuk kekal selamat dan berjaya di tempat kerja.
"Justeru, dengan mengutamakan langkah pencegahan merentas pekerja, majikan dan kerajaan, saya percaya kita boleh memupuk budaya keselamatan dan kesejahteraan untuk memastikan setiap individu pekerja dapat meningkatkan prestasi dan mencapai potensi diri mereka.
"Oleh itu, marilah kita bersama menyemai benih budaya pencegahan hari ini dan saksikan golongan pekerja negara ini yang maju secara progresif dan produktif," kata beliau. - KitaReporters