Perdana Menteri yakin kenderaan elektrik (EV) yang bakal dilancarkan oleh Perodua memenuhi konsep dan semangat Madani yang dijunjung oleh kerajaan -- terangkum, kelestarian, hasil kerja tempatan, tercanggih dan mampu milik.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif EV oleh syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) itu amat bertepatan dengan semangat Malaysia Madani, yang menekankan kemajuan berpaksikan nilai mampan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat.
"Dalam sesi taklimat, saya diberi penerangan mengenai prestasi semasa serta perancangan pelancaran model EV pertama Perodua yang bakal diluncurkan tidak lama lagi.
"Inisiatif ini amat bertepatan dengan semangat Malaysia Madani, yang menekankan kemajuan berpaksikan nilai mampan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat," jelas beliau.
Hari ini, 11 November 2025, Perdana Menteri telah berpeluang meninjau operasi serta bertemu tenaga kerja yang menjadi tulang belakang kejayaan Perodua atau “King of the Road” di Sungai Choh, Rawang, Selangor, sempena pengeluarankenderaan Perodua yang ke 5.5 juta.
Katanya, pembangunan EV oleh Perodua bukan sekadar memperkukuh keupayaan industri automotif nasional.

"Tetapi juga mencerminkan komitmen terhadap teknologi hijau, penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, dan penawaran produk yang berpatutan serta berimpak sosial tinggi.
"Usaha ini memperlihat bahawa kemajuan ekonomi dan nilai kemanusiaan boleh bergerak seiring bahawa inovasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
"Ia bukan pilihan yang berbeza, tetapi dua sisi dalam satu aspirasi negara Madani yang menjuarai ekonomi hijau dan berdaya saing," tegas Anwar.
Beliau yakin Perodua akan terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh ekosistem automotif negara dan memacu Malaysia ke arah masa depan mobiliti yang lebih lestari, berdaya cipta dan berjiwa rakyat.

"Salut saya buat seluruh warga kerja Perodua yang menjadi nadi di sebalik kejayaan syarikat ini, bekerja dengan penuh dedikasi untuk memastikan setiap kenderaan yang dilahirkan menjadi kebanggaan negara.
"Semoga Perodua terus berkembang maju dan kekal menjadi jenama kenderaan pilihan utama rakyat Malaysia," ujar Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media
