Bisnes & Ekonomi 20 Oct, 2025

Ziarah Kasih Cahaya Deepavali! Program CSR SWM Environment! Bantu keluarga kurang berkemampuan, OKU!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Sempena sambutan perayaan Pesta Cahaya tahun ini (2025), SWM  Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) meneruskan komitmennya terhadap  tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni lima buah keluarga kaum India di sekitar negeri Melaka menerusi program ziarah kasih SWM Kasih: Cahaya Deepavali. 


Pengurus Besar Operasi SWM Environment, R Mahendran (tengah) menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada salah seorang penerima ketika ziarah SWM Kasih Cahaya Deepavali di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam. 


Program CSR ini merupakan salah satu inisiatif SWM Environment yang bertujuan menyalurkan sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan menjelang sambutan perayaan Deepavali yang jatuh pada Isnin, 20 Oktober 2025. 

Ia juga mencerminkan, keprihatinan serta komitmen syarikat dalam memperkukuh semangat perpaduan dan  keharmonian antara komuniti pelbagai kaum. 



Menurut Mohd Norlisam Mohd Nordin, Pengurus Besar Korporat SWM  Environment, pihaknya sentiasa komited dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti keluarga berpendapatan rendah, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan  esakit kronik bagi meringankan beban mereka dalam menyambut perayaan Deepavali yang tiba. 

“Melalui program SWM Kasih Cahaya Deepavali kali ini, lima keluarga yang memerlukan telah dikenal pasti, terdiri daripada dua keluarga berpendapatan rendah dan tiga pesakit kronik di  sekitar negeri Melaka. 

"Mereka menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas sebagai persediaan menyambut perayaan Deepavali,” katanya.

Tambah beliau, SWM Environment berharap inisiatif ini dapat menceriakan sambutan Deepavali penerima sumbangan serta memberikan sinar kegembiraan kepada mereka yang  sedang menempuh kesukaran hidup.



Antara penerima sumbangan ialah S Rajam Bal a/p R  Singaram, 71 tahun, warga emas dari Taman Wira, Kampung Tehel, Jasin serta Nithia a/p M  Ravi, 36 tahun, dari Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam yang merupakan keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan. 

Turut disantuni ialah Varatheraaj a/l V. Santiran, pesakit angin ahmar yang terlantar sejak  lebih tiga tahun di rumahnya di Taman Desa Damai, Cheng. 

Dua lagi penerima sumbangan yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong iaitu Tamilselvi a/p Perumal, 53 tahun, seorang pesakit jantung kronik yang tidak lagi mampu  bekerja, serta Sivagami a/p Rajoo, 66 tahun, warga emas yang menghidap penyakit buah  pinggang kronik dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. - KitaReporters/Kenyataan Media


12
15
0
14
0
You will be interested