Bisnes & Ekonomi 02 Mar, 2026

Hebatkan Perniagaan Malaysia! SKM pemudah cara ke pasaran luar negara! Pengantarabangsaan koperasi!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai pemudah cara strategik terus terserlah apabila koperasi tempatan mula mencipta nama di pentas antarabangsa, termasuk menerusi penyertaan dalam Gulfood Dubai 2026.



Platform antarabangsa itu bukan sekadar ruang pameran, tetapi menjadi titik tolak transformasi koperasi Malaysia daripada sektor domestik kepada pemain eksport global -- selari dengan aspirasi nasional yang diilhamkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim untuk “Hebatkan Perniagaan Malaysia”, yang menekankan pengukuhan daya saing perniagaan tempatan sebelum mengorak langkah lebih jauh ke pasaran dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro), Ahmad Husaini Hassan, berkata sokongan SKM dalam membuka akses kepada platform global membuktikan agensi itu bukan sekadar pengawal selia, malah pemangkin pengantarabangsaan koperasi.


Ahmad Husaini Hassan


"SKM bukan hanya regulator. Mereka memudah cara penyertaan koperasi dalam program antarabangsa, membimbing aspek pematuhan standard global dan membantu membina kapasiti organisasi. 

"Tanpa platform sebegini, sukar untuk koperasi melangkah ke luar negara," katanya.

Menurut beliau, penyertaan pada Gulfood Dubai 2026 memberi akses terus kepada pasaran Timur Tengah, selain membuka jaringan strategik dengan pembeli antarabangsa serta memvalidasi produk koperasi pada peringkat global.

"Kalau kita nak ke depan, kita tak boleh jadi jaguh kampung. Tetapi untuk ke luar negara, kita mesti patuh standard antarabangsa dan faham kehendak pasaran. 

"Di sinilah pentingnya bimbingan dan sokongan agensi seperti SKM," jelasnya.



Husaini berkata kejayaan koperasi menembusi pasaran eksport bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina atas asas tadbir urus yang kukuh dan pematuhan konsisten terhadap garis panduan.

"Kita urus dana anggota. Setiap pelaburan mesti telus dan setiap keuntungan mesti diisytiharkan. 

"Pematuhan bukan beban, tetapi enjin pertumbuhan. Ia membina keyakinan rakan niaga tempatan dan antarabangsa," katanya.

Beliau menjelaskan setiap negara mempunyai piawaian berbeza, termasuk pensijilan halal, BRC bagi pasaran Eropah dan FDA untuk Amerika Syarikat.

"Kalau dokumentasi tak lengkap atau fasiliti tak ikut standard, produk boleh ditolak. Jadi koperasi perlu serius dan profesional," katanya.

Menurut beliau, SKM turut memainkan peranan penting dalam pembangunan kapasiti koperasi, termasuk memperkukuh aspek pematuhan, tadbir urus dan kesiapsiagaan eksport -- pendekatan yang seiring dengan agenda memperkasa dan mengangkat jenama tempatan agar benar-benar mampu berdiri setanding pada peringkat antarabangsa.

“Pendekatan ini secara tidak langsung meningkatkan potensi dividen anggota, meluaskan pasaran produk dan memperkasa usahawan kecil dalam ekosistem koperasi.

"Eksport bukan sekadar jualan. Ia tentang meningkatkan nilai produk anggota dan membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat," katanya.



Melihat ke hadapan, beliau optimis lebih banyak koperasi tempatan mampu mengikut jejak langkah Kopetro jika terus memperkukuh pematuhan, meningkatkan kualiti dan memanfaatkan platform antarabangsa yang disediakan SKM.

"Koperasi Malaysia mampu menjadi pemain global. Yang penting, kita berani melangkah dan bersedia memenuhi standard dunia -- kerana apabila perniagaan tempatan menjadi hebat, Malaysia turut menjadi lebih kuat," katanya.

Selari dengan keyakinan tersebut dan bagi meneruskan agenda Hebatkan Perniagaan Malaysia, tiga koperasi Malaysia telah mengesahkan penyertaan dalam Foodex Japan 2026 di Tokyo pada 10 hingga 13 Mac 2026, membuktikan komitmen berterusan sektor koperasi untuk memperkukuh kehadiran di pasaran antarabangsa. - KitaReporters/Kenyataan Media

9
15
0
14
0
You will be interested