Bisnes & Ekonomi 19 Nov, 2025

Video| Malaysia kekal merdeka, bebas, berdaulat! Tentukan hala tuju perdagangan, hubungan luar! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Malaysia kekal bebas menentukan hala tuju perdagangan dan hubungan luar, termasuk dalam sektor nadir bumi, semikonduktor, mata wang dan dasar strategik lain.



"Tuduhan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat mengikat atau menggadaikan negara tidak berasas sama sekali. 

"Hakikatnya, kita kekal bebas menentukan hala tuju perdagangan dan hubungan luar, termasuk dalam sektor nadir bumi, semikonduktor, mata wang dan dasar strategik lain," tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa, 18 November 2025.

Menurut beliau, adalah tidak benar dakwaan kononnya perdagangan nadir bumi Malaysia terbatas kepada Amerika Syarikat. 

"Kita baru saja memeterai kerjasama super magnet dengan Korea, manakala Petronas–Khazanah sedang memuktamadkan usaha sama nadir bumi dengan China. 

"Jika benar kita “terikat”, semua ini pastinya terhenti," tegas Anwar.



Katanya lagi, dalam semikonduktor, Malaysia kekal menentukan dasar sendiri. 

"Pelaburan Jerman dan China bebas mengeksport cip ke China tanpa sebarang sekatan. Jika Malaysia benar-benar “menggadai” kedaulatan, keputusan ini mustahil berlaku.

"Isu mata wang juga jelas apabila ringgit–yuan, ringgit–baht, ringgit–rupiah dan lain-lain tetap diteruskan tanpa halangan. Tidak ada satu pun dasar perdagangan kita yang terhenti akibat ART.

"Malah meskipun Amerika Syarikat tidak bersetuju dan mengambil pendirian keras terhadap BRICS, Malaysia tetap hadir dan terlibat. 

"Bahkan saya sendiri akan ke sidang G20 di Afrika Selatan walaupun Amerika memboikot. Ini bukti pendirian kita tidak ditentukan oleh mana-mana kuasa besar," jelas beliau lagi.



Perdana Menteri sekali menegaskan buat kesekian lagi bahawa ART tidak mengekang, mengikat, atau memaksa Malaysia tunduk kepada Amerika Syarikat. 

"Malaysia kekal merdeka, bebas dan berdaulat. Dasar negara kekal ditentukan oleh kita sendiri!," tegas beliau lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
13
0
6
0
You will be interested