TATKALA umat Islam bersatu mengkukuhkan kempen Buy Muslim First (BMF) sebenarnya GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sudah 51 tahun melancarkan kempen ini dan kini produk halal keluaran rangkaian perniagaan bertaraf global yang berasaskan syariat Islam itu sedang menawan dengan selesanya selera pengguna dalam dan luar negara. : KitaReporters.com
Tengku Azahar Tengku Osman (kiri)... GISBH bawa lambang dunia Islam.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengerusi Eksekutif GISBH, Tengku Azahar Tengku Osman, berkata GISBH kini sudah mengeluarkan 400 jenis barangan dengan keluaran terbaharunya beras dan minyak dengan berjenama sendiri dan akan mula mempercepatkan pembukaan pasar raya ke seluruh negara untuk pusat pemasaran produk keluarannya dan tempat usahawan tempatan berniaga.
Setakat ini kata Tengku Azahar, pasar raya pertama di Sungai Buloh dan usaha berikutnya di kawasan utara apabila ada kerajaan negeri menyediakan gudang yang besar bagi GISBH membuka pasar raya.
Dan ada sesetengah pasar raya yang menutup perniagaan mereka juga sudah mempelawa GISBH mengisi tempat bekas operasi mereka.
"Setakat ini, GISBH sudah ditawarkan kawasan di Kulim, Kedah dan kita menjangka pasar raya ini akan turut dibuka di lokasi Pantai Timur, Seremban, Klang, Muar dan Behrang.
"Malah GISBH menerima pelanggan dari negeri di selatan tanah air ke Pasar Raya Sungai Buluh untuk mendapatkan keperluan yang harganya berpatutan dan sebahagian besar produk diperolehi dari ladang pertanian, kilang roti dan minuman yang selamat," jelasnya.
Bercakap dalam satu pertemuan di Pusat Perniagaan Ikhwan di Bandar Country Homes di Rawang, Selangor, Tengku Azahar berkata, ketika masyarakat Islam baru sedar pentingnya bersatu, memajukan produk halal, pengasas GISBH Allahyarham Ustaz Ashaari sudah melihat keperluan ini setengah abad lalu dan meramalkan bahawa barangan keluaran Muslim akan menjadi rebutan pengguna selaras dengan perkembangan pesat Islam di dunia.
Sejajar itulah katanya, GISBH mengambil inisiatif 'menawan' perut pengguna dunia dengan membuka rangkaian Restoran Nur Malaysia di seluruh dunia, khususnya di tempat strategik dan kawasan pelancongan Muslim untuk memastikan setiap orang menikmati makanan bersih, halal dan disediakan oleh tangan-tangan yang berzikir, hatinya takut kepada Allah SWT dan rindukan Nabi Muhammad SWT.
Setakat ini, Restoran Nur Malaysia sudah ada di Dubai, Paris, Manchester, Amman, Cairo, Jordan, Tashkent dan Istanbul, serta seluruh Asia Tenggara termasuk Indonesia dan Thailand.
Dalam negara pula, ada rangkaian restoran Ikhwan dan Delight serta GH Corner yang dikendalikan oleh pewaris remaja GISBH dan yang turut dijadikan tempat melatih remaja dalam bidang kulinari sebelum dihantar bertugas di seluruh dunia.
Restoran Nur Malaysia di Paris, Perancis.
Tengku Azahar memberitahu, setiap tahun GISBH melahir 200 hingga 250 belia terlatih dalam hampir semua bidang teknikal dan keagamaan.
"Sejak dilahirkan anak-anak ini dibimbing dengan rasa cinta dan takutkan Allah SWT serta rindukan Nabi Muhamad SAW dan apabila mencapai usia 18 tahun, mereka sudah dibentuk dengan iman yang teguh dan niat yang bersih untuk memulakan sesuatu pekerjaan.
"GISBH adalah institusi pembinaan ummah kerana bila kita sudah ada iman dan taat solat, sedekah, niat, kasih sayang sesama insan, memahami bidang berniaga adalah satu ibadah dan sentiasa menghormati ketua, tidak sukar untuk kita memajukan perniagaan," katanya yang turut memberitahu ada orang-orang Cina yang memuji dan meminta kawan-kawannya berbelanja di pasar raya GISBH kerana ayamnya halal dan bersih.
Malah GISBH antara yang perkenalkan konsep "telur dibasuh" sebelum digunakan dalam masakan, ketika ada yang meletakkan hastag #telurbasuh dalam pembuatan makanan seperti pembuatan kek dan roti canai telur.
Sebahagian usaha pertanian di Lembah Berkat, Rawang, selangor.
Tengku Azahar berkata, produk dijual restoran luar negara dibuat sendiri oleh kakitangan GISBH.
"Bayangkan anda mahu makan keropok di luar negara, pergilah di restoran GISBH. Begitu juga dengan mi kuning, sos cili, roti canai, kuetiau, dan makanan tempatan negara ini mendapat sambutan luar biasa.
"GISBH membuka foodtruck di London dan majoriti umat Islam seluruh dunia tertumpu pada trak makanan itu. Roti canai yang dijual dengan harga beberapa ringgit lebih mahal daripada harga di Malaysia adalah menu utama, digemari ramai di sesetengah negara," jelasnya.
Roti canai dari Malaysia di restoran Nur Malaysia Manchester di England.
Menurut Tengku Azahar lagi, GISBH mendapat bekalan bahan mentah dari kilang proses ayamnya sendiri, sektor perladangan dan penternakannya.
Malah di luar negara termasuk Mekah dan Madinah, GISBH memiliki kebun sayur yang diusaha sama dengan penduduk negara asal kerana sukarnya untuk memiliki bangunan dan membeli hartanah di negara terbabit.
Dengan mempopularkan lifestyle (gaya hidup) halal, hampir 90 peratus keluaran GISBH dijamin halal dan sehingga kini pertubuhan itu telah dianugerahkan pingat Gold Award Chain Restaurant oleh Badan Pelancongan Malaysia dan kerap kali ditawarkan menjadi penaja utama industri makanan halal di seluruh dunia.
Malah, bapa mentua Presiden Rusia, Marat Turkiye Kabayev sangat teruja apabila GISBH mengambil bahagian dalam festival makanan halal di Samara, Rusia tidak lama dulu.- Kita Reporters.com