RM800 juta yang terhasil daripada penjimatan menerusi BUDI95 telah dikembalikan kepada rakyat melalui STR dan SARA.
Selain itu wang tersebut turut digunakan untuk menaikkan taraf klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh prasarana negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak lebih 20 tahun lalu, penyasaran subsidi minyak telah dibincangkan oleh setiap Kerajaan yang memerintah, namun tiada yang punyai keberanian dan tekad politik untuk melaksanakannya.
"Kerajaan Madani telah mengambil langkah berani menerusi BUDI95 untuk memastikan subsidi ini hanya dinikmati rakyat Malaysia, dan tidak terus dihirup lebih 3.5 juta warga asing serta puluhan ribu liter yang diseludup ke luar negara.
"Hasil keberanian ini menyaksikan kita menjimatkan RM800 juta setakat ini, dan setiap daripadanya dipulangkan kembali kepada rakyat melalui STR dan SARA, selain menaik taraf klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh prasarana negara," tegas beliau dalam hantaran dalam akaun Facebook rasminya pada 21 Disember 2025.


BUDI95 (Budi Madani RON95) adalah program subsidi petrol bersasar kerajaan Malaysia untuk warganegara, dengan menawarkan harga minyak RON95 pada harga RM1.99/liter.
STR (Sumbangan Tunai Rahmah) ialah program bantuan tunai tahunan daripada Kerajaan Malaysia untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) memenuhi keperluan asas, menggantikan program-program bantuan sebelum ini.
Manakala SARA (Sumbangan Asas Rahmah) adalah bantuan tunai tambahan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan golongan miskin tegar eKasih, yang disalurkan melalui kad pengenalan (MyKad) untuk membeli barangan keperluan asas.
Sementara itu, Perdana Menteri juga menjelaskan sepanjang 2025, Kerajaan Madani telah memperkukuh perlindungan sosial rakyat Ini dicapai, katanya, dengan mempertingkat bantuan tunai ke tahap tertinggi dalam sejarah, memperluas sokongan untuk keluarga, dan memastikan tindakan serta bantuan segera digerakkan setiap kali bencana melanda.
"Semua ini menggambarkan tekad Madani untuk memastikan setiap isi rumah dibela tanpa ada yang tercicir dan terpinggir," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media