Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) telah meluluskan pelaburan bernilai mencecah RM37 bilion bagi separuh pertama tahun 2025 ini.

Selain itu, Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) telah berjaya menarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, JS-SEZ terus menunjukkan momentum luar biasa dalam menarik pelaburan strategik antarabangsa.
"Bagi separuh pertama tahun 2025 sahaja, jumlah pelaburan diluluskan di JS-SEZ telah mencecah RM37 bilion, bersamaan 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan di Negeri Johor yang bernilai RM56 bilion.
"Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) pula telah berjaya menarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion," jelasnya.
Perdana Menteri menegaskan demikian semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa (MOA) ke-35, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) pada Rabu, 15 Oktober 2025.

JS-SEZ adalah sebuah zon ekonomi khas bersepadu yang diwujudkan untuk meningkatkan kerjasama perniagaan dan pelaburan antara Malaysia (terutamanya Johor) dan Singapura.
Inisiatif ini bermatlamat memudahkan aliran barangan, orang, dan perkhidmatan merentasi sempadan, serta meningkatkan perdagangan, pekerjaan, dan pelaburan di kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat MOA IRDA itu turut meneliti kemajuan pelaksanaan JS-SEZ termasuk sektor berpotensi, kesan pelaburan semasa serta langkah memperkukuh fasilitasi pelaburan, khususnya melalui Zon Kewangan Khas Forest City.
"Saya turut menegaskan pentingnya pembangunan di Iskandar Malaysia diselarikan dengan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi agar kemajuan wilayah ini bersifat inklusif bagi memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir daripada arus kemakmuran. - KitaReporters/Kenyataan Media
